Penunggang motosikal maut dirempuh MPV lawan arus

0
179

KUALA LUMPUR: Seorang penunggang motosikal maut apabila terhumban dari jejambat selepas dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang melawan arus di Kilometer 1.6, Penchala Link, menghala ke Jalan Duta, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi tadi itu, penunggang motosikal Yamaha Y150, Mohd Nabil Hashim, 22, maut di lokasi kejadian selepas tercampak dari jejambat di laluan itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata mangsa terjatuh dari jejambat setinggi kira-kira 5 meter itu.

“Kemalangan membabitkan seorang penunggang motosikal dengan sebuah MPV Honda HRV. Ketika penunggang motosikal melalui lokasi kejadian dari arah Penchala menghala ke Jalan Duta, dia secara tiba-tiba dilanggar MPV berkenaan.

“Berdasarkan siasatan awal di lokasi, kami difahamkan, MPV yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun melawan arus dan melanggar mangsa sebelum mangsa tercampak ke bawah jejambat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zulkefley berkata, mangsa yang berasal dari Kota Damansara itu disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada jam 5.30 pagi.

“Mayat mangsa dibawa ke PPUM untuk dibedah siasat sebelum pihak kami memaklumkan kejadian kepada pihak keluarganya,” katanya.

Zulkefley berkata, pemandu MPV tidak mengalami kecederaan, namun kenderaan dipandu lelaki itu mengalami kerosakan pada bahagian hadapan.

“Pihak kami masih menjalankan punca dan motif pemandu itu menggunakan jalan secara melawan arus yang mana perbuatan itu sangat berbahaya kepada pengguna jalan raya lain,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here