Penjinak ular koma dipatuk tedung selar

PENANGKAP ular tidak sedarkan diri selepas dipatuk ular tedung selar ketika cuba menangkap reptilia itu di Kampung Belukar, Abi, semalam.

Mangsa, Azri Ahmad, 50, sedang dirawat di Zon Merah, Unit Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.

Isteri mangsa, Siti Hawa Mahamad, 45, berkata, dalam kejadian 1 tengah hari itu, suaminya diminta oleh penduduk kampung bagi menangkap ular di dalam rumah penduduk.

“Saya menemaninya ketika kejadian dan suami berjaya menangkap ular berkenaan. Namun ketika dia cuba memasukkan ular ke dalam karung, ular itu sempat mematuknya.

“Pada mulanya saya ingat dia hanya cedera ringan, malah dia juga memaklumkan ada mengalami sedikit luka mungkin terkena taring ular ketika cuba mengurung ular itu,” katanya ketika ditemui di HTF, Kangar, hari ini.

Menurut Siti Hawa, mereka berdua pulang ke rumah.

“Selepas dia mandi, kami melihat muka suami menjadi pucat sebelum kami memintanya untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Malah suami juga masih boleh memandu kereta sambil saya menemaninya ke hospital.

“Selepas mendapatkan pemeriksaan, doktor memaklumkan bahawa suami perlu ditahan di Unit Kecemasan kerana bimbang bisa ular akan merebak ke seluruh badan,” katanya.

Beliau berkata, sejurus menerima rawatan, suaminya tidak sedarkan diri dan kini masih dijaga rapi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *