Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Utama

Peniaga raih pendapatan berganda selepas kempen produk Muslim

KEMPEN mengutamakan barangan keluaran Muslim (BMF) yang jadi perhatian umum beberapa minggu lalu mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pengguna, berdasarkan tinjauan di kalangan peniaga.

Peniaga yang ditemubual The Malaysian Insight mengaku pendapatan mereka meningkat dengan mendadak selepas kempen yang dimulakan pada April lalu kembali tular ketika kemuncak bantahan bukan Melayu terhadap tulisan Jawi di sekolah vernakular sekitar awal Ogos lalu.

Walaupun kempen itu baru popular semula dalam tempoh sebulan lalu, peniaga berkata mereka dapat rasa perubahan besar dari segi permintaan pengguna.

Mereka bagaimanapun menambah, walaupun perniagaan lebih baik, tidaklah pula bermakna mereka mendukung seruan sesetengah pihak supaya pengguna memboikot barangan dan perkhidmatan peniaga bukan Melayu dan bukan Islam.

Pegawai Perhubungan Pasaraya Ikhwan Sungai Buluh, Muhammad Syahid Khairil berkata pendapatan perniagaan pasar raya 100% Muslim ini bukan saja meningkat dua kali ganda tetapi mereka juga menerima kunjungan pengguna yang bertambah.

“Kita memang sudah lama fokus pada produk muslim dan halal. Jadi bila ada pasar raya dan ada produk Bumiputera, bila datang kempen BMF ini berlaku peningkatan hasil dalam dua kali ganda.

“Pengunjung memang ramai dan naik mendadak,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Barangan penjagaan diri dan ubat gigi halal jenama Mu’min juga menerima tempias positif daripada kempen di media sosial itu.

Sejak kempen itu rancak pada akhir Ogos, mereka tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pasaran.

Pengurus eksportnya, Nurul Hanani Abdul Halim berkata pihaknya amat terkejut dengan sokongan masyarakat yang tidak putus-putus, sejak kempen itu heboh di media sosial dan mendapat liputan media.

“Kita merasa sambutan pengguna Islam yang ada kesedaran. Bukanlah memboikot tetapi fokus membeli produk pengeluar Islam dulu. Jadi, peningkatan jualan meningkat 100 hingga ke 200%,” katanya.

Menurut Hanani, pihaknya melihat sambutan menggalakkan daripada pengguna ini sebagai peluang untuk meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan.

“Untuk sambutan berterusan, peluang ini perlu diambil untuk kita tingkatkan kualiti agar ia setanding dengan produk antarabangsa,” katanya.

Seorang peniaga bebola ikan di Perak juga mengaku permintaan terhadap barangannya meningkat tinggi sejak kempen utamakan barangan keluaran Muslim itu jadi bualan ramai.

Pemiliknya Salim Ishak, 43, berkata permintaannya naik mendadak selepas kempen.

“Kalau dulu kita buat bebola ikan 200kg sehari, sekarang kita buat 400kg,” kata pemilik perniagaan Bebola Ikan Yong, Salim Ishak.

“Kita ada 6 pengedar iaitu satu di Pulang Pinang dan Selangor… selainnya di Perak.

“Saya sudah meniaga hampir tujuh tahun dan alhamdulillah kali ini sangat bagus jualan,” katanya, yang mengaku sedang dalam proses mendapatkan sijil halal daripada pihak berkuasa agama.

Syahid dan Hanani bagaimanapun senada mereka percaya kepada persaingan yang sihat dan tidak menyokong gesaan supaya pengguna memboikot barangan dan perkhidmatan atas garis kaum dan agama.

“Kita sebagai pasaraya pun tidak boikot mana-mana produk bukan Muslim. Biarlah bersaing secara sihat.

“Cuma bezanya banyak barang Bumiputera dan Muslim di sini yang jarang ada di tempat lain. Itu kelebihan kami.

“Tapi bukanlah boikot barang mana-mana. Kini kita lebih banyak pilihan,” kata Syahid.

Hanani juga berkata pihaknya tidak mendukung boikot yang disebarkan sebagai kempen atas nama kaum dan agama, sebaliknya menganggap apa yang berlaku sekarang sebagai kesedaran pengguna.

“Pembeli sudah sedar. Mereka utamakan barang Muslim tetapi bukanlah boikot.

“Kita bersaing secara sihat dan kena bukti barang kita setaraf dengan antarabangsa,” katanya.

Badan gabungan persatuan Islam, Gerakan Pembela Ummah (Ummah) bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pada April lalu melancarkan kempen beli produk keluaran Muslim dengan maksud menggerakkan ekonomi orang Islam di Malaysia dan pada masa sama, mempromosikan produk halal kepada pengguna.

Kempen itu kembali hangat pada Ogos selepas berbangkit isu seni khat dan tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan, yang dibantah keras oleh badan kepentingan pendidikan vernakular.

Kempen itu kemudiannya dipromosikan oleh sesetengah dalam kalangan Muslim sendiri sebagai gerakan memboikot barangan dan perkhidmatan bukan Muslim.

Kempen itu mendapat sambutan hangat melalui sebaran di media sosial terutamanya Facebook apabila muncul beberapa kumpulan dengan tujuan sama, yang sesetengahnya mempunyai jutaan pengikut.

Dalam itu, ketua aktivis PPIM Nadzim Johan berkata berdasarkan pemantauan pihaknya, peniaga terutamanya pengeluar produk mengakui jualan mereka meningkat dengan mendadak.

“Daripada puluhan ‘big player’ yang saya dapat hubungi, jualan mereka naik berganda-ganda. Antaranya syarikat cat, syarikat tayar… produk makanan apatah lagi.

“Kempen ini memang beri kesan kerana pengguna betul-betul turun padang,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight. – 24 September, 2019.

Loading...

Leave a Reply

Theme by Anders Norén