Portal berita terbaik anda

Utama

Pengorbanan Abdul Bari bukti anak muda Malaysia berjiwa besar

KUALA LUMPUR – Pengorbanan seorang pemuda, Abdul Bari Asyraf Mohd., 31, yang lemas ketika cuba menyelamatkan lima sekeluarga daripada lemas apabila kenderaan mereka terjunam ke dalam Sungai Terengganu kelmarin merupakan satu tindakan mulia.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Abdul Bari Asyraf wajar dijadikan contoh kerana akhlak yang ditunjukkan beliau adalah terpuji.

Menurut Dr. Zulkifli, di sebalik musibah itu, Allah menyedarkan bahawa Malaysia masih mempunyai ramai anak-anak muda yang berjiwa besar.

“Alhamdulillah di sebalik musibah ini, Allah menyedarkan kepada kita bahawa Malaysia masih mempunyai ramai anak-anak muda yang berjiwa besar. Kita mendoakan semoga lebih ramai yang akan mencontohi almarhum.

“Kami mencadangkan agar keluarga beliau, juga penyelamat-penyelamat lain diberi anugerah yang setimpal dengan keberanian dan akhlak mereka yang disanjung tinggi,” kata Dr. Zulkifli dalam satu hantaran di Facebook.

Jelas Dr. Zulkifli, pengorbanan Abdul Bari Asyraf termasuk dalam kategori syahid.

Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksudnya, orang yang mati syahid ada lima kategori. Mati kerana wabak taun, mati kerana sakit berkaitan perut, mati lemas, mati dihempap runtuhan, dan mati syahid ketika berperang di jalan Allah.

Mayat Abdul Bari Asyraf ditemukan pukul 7.24 pagi ini dalam keadaan terapung kira-kira 2.5 kilometer daripada tempat dia dilaporkan lemas.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 malam itu, Abdul Bari Asyraf merupakan kalangan enam orang awam yang terjun menyelamatkan lima sekeluarga selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki terjunam di Sungai Terengganu.-UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply