Portal berita terbaik anda

Utama

Pengerusi surau meninggal dunia ketika solat Subuh berjemaah

SEREMBAN – “Arwah sebelum ini pernah memberitahu saya dan anak-anak, ini mungkin Ramadan terakhir baginya,” kata Siti Esah Abdullah, 65, isteri kepada Pengerusi Surau Taman Kobena Senawang, di sini, Mohd Isa Yaacob, 69, yang meninggal dunia ketika menunaikan solat Subuh di surau berkenaan, pagi tadi.

Mohd Isa dikatakan rebah ke bahagian kiri pada rakaat kedua solat Subuh di surau berkenaan dan disahkan meninggal dunia serta-merta.

Siti Esah berkata, luahan suaminya itu menggambarkan seolah-olah dia mendapat petanda akan meninggalkan mereka sekeluarga selama-lamanya yang akhirnya menjadi realiti, pagi tadi.

Beliau berkata, arwah suaminya ada masalah jantung dan pernah menjalani pembedahan pintasan jantung serta dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban beberapa hari sebelum Ramadan lalu.

“Arwah suami sangat mengambil berat solat secara berjemaah sama ada di surau atau di masjid. Sejak kebelakangan ini pula, arwah banyak menghabiskan masa lapang dengan membaca al-Quran, selain aktif dengan kerja kebajikan serta aktiviti kemasyarakatan di taman ini,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang jemaah surau berkenaan, Abdul Razak Abdul Rahman, 63, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 6.05 pagi, ketika menunaikan solat Subuh secara berjemaah.

Beliau berkata, arwah yang juga pesara tentera tiba-tiba rebah ke kiri, ketika imam sedang membaca surah al-Fatihah di rakaat kedua sebelum disambut jemaah yang berada di sebelahnya.

“Kami baringkan dia dan turut memberi pertolongan cemas ke atas arwah sambil mengajar mengucap kalimah syahadah,” katanya.

Katanya, jenazah disolatkan di Surau Taman Kobena, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang, di sini, hari ini.

Loading...

Leave a Reply