Portal berita terbaik anda

Politik

Pengerusi SPR pertahan tindakan tutup awal pusat mengundi

CAMERON HIGHLANDS – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekali lagi menegaskan penutupan awal 23 daripada 29 buah pusat mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands esok tidak akan mengganggu kelancaran proses pengundian.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, perkara itu bukan satu isu besar kerana ia telah pun dilaksanakan pada proses pilihan raya sebelum ini.

Malah katanya, pada PIlihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, pusat-pusat tersebut juga ditutup awal kerana jarak antara lokasi itu dan pusat perjumlahan undi adalah jauh.

“Sekiranya pada PRU-14, perkara ini tidak pernah menjadi isu, saya berasa sedikit hairan dan tidak faham kenapa ia menjadi isu pada kali ini.

“Malah pada PRU-14 walaupun tempat-tempat mengundi ini ditutup awal namun peratusan mengundi di lokasi tersebut amat tinggi iaitu antara 83 hingga 85 peratus,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri taklimat dan proses semakin akhir peti undi di Dewan Gemilang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Azhar Azizan baru-baru ini menjelaskan bahawa SPR tidak akan memanjangkan tempoh masa mengundi di pusat mengundi membabitkan kawasan pedalaman khususnya di Pos Orang Asli pada PRK Cameron Highlands atas faktor keselamatan dan logistik termasuk penggunaan helikopter.

Pada proses mengundi esok, sebanyak 23 daripada 29 buah pusat mengundi ditutup awal antara pukul 1 hingga 4 petang manakala enam lagi pusat mengundi ditutup pada pukul 5.30 petang selain sebuah pusat mengundi di Pos Betau diberi tambahan masa 30 minit iaitu ditutup pada pukul 3.30 petang.-UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply