Portal berita terbaik anda

Utama

Pengarah drama guna jersi Liverpool untuk babak lap air kencing buat penyokong terguris hati

Bekas bendahari kelab penyokong Liverpool Malaysia, S Ragunath tersinggung dengan babak mengelap air kencing menggunakan jersi skuad The Reds dalam drama Jujurlah Nikahi Aku arahan Rashid Sibir.

Jelas Ragunath, perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan ia seolah-olah tidak menghormati sensitiviti dan menjaga perasaan penyokong Liverpool terutama di negara ini.

“Tak patut mereka guna jersi Liverpool untuk mengelap air kencing dan ia macam menghina kelab. Saya kecewa dan tak sangka babak itu ada dalam drama berkenaan.

“Kalau nak mengelap boleh saja guna kain biasa atau benda lain tapi kenapa mesti jersi Liverpool yang terang-terang ada logo Liverpool.

“Saya ada dengar daripada kawan-kawan, pengarah drama itu sebenarnya penyokong MU. Sebab itu dia sengaja buat macam itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, tular babak mengelap air kencing menggunakan jersi Liverpool itu hingga membangkitkan kemarahan penyokong kelab itu di laman sosial.

Susulan daripada babak itu, seorang individu fanatik membuat laporan di laman web rasmi pasukan Liverpool bagi menuntut pasukan Liga Perdana Inggeris itu mengambil tindakan ke atas produksi drama berkenaan.

Bagi Presiden All Reds Malaysia, Muzili Aznor Musa, dia menganggap tindakan pengarah itu memilih jersi skuad kendalian Jurgen Klopp sekadar untuk menaikkan rating tontonan drama berkenaan.

“Memang ada rasa terguris sikit tapi biasa itu mungkin cara mereka nak raih publisiti. Saya harap penyokong Liverpool tak payah layan sebaliknya kekal fokus menyokong pasukan kesayangan kita,” kata Muzili.

Loading...

Leave a Reply