Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Utama

Penduduk minta kerajaan beri tanah dulu sebelum roboh kuil

Sekumpulan penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Sentul memohon Kementerian Wilayah Persekutuan supaya campur tangan dalam isu perobohan sebuah kuil yang terletak berdekatan kawasan mereka.

Menurut Koordinator Hindraf Wilayah Persekutuan P Shivalingam, kerajaan perlu memastikan kuil tersebut diberikan tapak baru sebelum ia dirobohkan.

“Kami tidak ada masalah untuk berpindah ke tapak baru. Tapi, nak pastikan pihak yang bertanggungjawab (beri) tapak alternatif sebelum merobohkan kuil.

“Tindakan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) memberi notis mengusir tanpa sebarang pampasan adalah tidak wajar,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir bersama adalah ahli jawatankuasa kuil dan beberapa penduduk tempatan.

Shivalingam berkata, kuil itu dibina 11 tahun lalu selepas penduduk sekitar meminta kerajaan untuk memperuntukkan tanah bagi pembinaan sebuah kuil kepada penduduk beragama Hindu di sekitar kawasan berkenaan.

“Pada ketika kami diberikan tempat sedia ada untuk membina rumah ibadat. Tiba-tiba kami diberitahu bahawa tanah tersebut dijual kepada sebuah syarikat swasta. Kami pula didesak mengosongkan tapak tanpa sebarang pampasan,” kata Setiausaha Jawatankuasa Kuil, A Kapila.

“Jadi kami nak kementerian menyelesaikan isu ini sebelum pihak lain mengarah kami untuk berpindah,” katanya.

Menurutnya, sehingga sekarang syarikat yang membeli tanah berkenaan telah mengadakan lebih lima perjumpaan dengan pihak kuil.

“Namun, sehingga kini tiada sebarang perkembangan. Malah, kami bercadang kepada syarikat tersebut untuk membelikan sebidang tanah bersebelahan kawasan PPR agar pihak kuil berpindah ke sana,” katanya.

Sementara itu, wakil ahli parlimen Setiawangsa, A Anthonysamy mengesahkan perobohan kuil tersebut telah ditangguhkan sehingga satu keputusan muktamad dibuat.

“Saya ke sini atas arahan Yb Nik Nazmi (Nik Ahmad) untuk menyelesaikan isu ini.

“Kami telah dimaklumkan oleh pihak penguatkuasa bahawa perobohan kuil tersebut ditangguhkan sehingga satu penyelesaian secara menyeluruh dicapai,” katanya.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén