Pendaki teruja jumpa air terjun di Bukit Besar

0
1648

KUALA TERENGGANU – Hujan yang mula melanda negeri ini khasnya daerah Kuala Terengganu sejak awal Disember lalu tidak menjadi penghalang sekumpulan peminat pendaki bukit di negeri ini melepaskan gian mereka di Bukit Besar, pagi tadi.

Bagaimanapun, aktiviti itu yang telah dirancang awal bersama ahli Kelab Eksplorasi, Rekreasi dan Aktiviti Bukit (Kerabat) telah menjumpai sesuatu yang sangat menarik perhatian mereka iaitu air terjun dari bukit berkenaan.

Asmira Deraman berkata, dia yang bercadang mendaki bukit itu bersama rakan-rakan Kerabat agak terkejut dengan penemuan itu yang cukup cantik dan tidak melepaskan peluang mandi-manda selain merakam gambar kenangan.

“Saya percaya air terjun ini terjadi kerana hujan lebat yang melanda kawasan ini dan ia sangat mengujakan kami kerana selama kami melakukan aktiviti di kawasan itu, tidak pernah kami jumpa air terjun seperti ini.

“Kami juga berkongsi gambar-gambar yang diambil di kawasan air terjun itu di Facebook dan mendapat banyak komen daripada peminat aktiviti mendaki dan rakan-rakan lain yang turut teruja melihat kejadian alam semulajadi itu.

“Tidak kurang juga ada yang komen memberitahu kawasan air terjun yang kami jumpa itu tempat ‘keras’ atau dikaitkan dengan makhluk halus,” katanya kepada Sinar Harian.

Asmira berkata, untuk sampai ke kawasan air terjun itu, mereka menggunakan laluan belakang iaitu trek belukar yang mengambil masa kira-kira 10 hingga 15 minit sebelum mereka ternampak air terjun terbabit dan tanpa berfikir panjang, mereka terus ke kawasan berkenaan.

Katanya, kawasan air terjun itu tidak dapat dilihat dari bawah Bukit Besar, sebaliknya perlu memanjat untuk ke tempat berkenaan dan tidak menggunakan laluan asal trek tetapi menyusuri laluan air sehinggalah berjumpa dengan air terjun terbabit.

Mereka percaya air terjun yang temui itu belum diketahui umum dan mereka bercadang akan ke kawasan itu lagi pada masa akan datang.

Sumber: sinar harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here