Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Politik

Pemuda PH tawar siaran EPL percuma jika menang PRU14

PEMUDA Pakatan Harapan (PH) menggoda anak muda untuk mengundi mereka dengan menjanjikan perlawanan bola sepak percuma Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata sebagai peminat tegar pasukan Liverpool, beliau mahu jutaan peminatnya di negara ini turut merasai kemeriahan liga sukan terulung dunia itu.

“Sebagai peminat pasukan Liverpool saya mahu semua orang menyaksikan kehebatan pasukan ini.

“Hak penyiaran liga sukan utama haruslah dibuka kepada semua. Takkan hanya nak tunggu Astro sahaja,” kata beliau dalam ucapan penutup Konvensyen Pemuda Pakatan Harapan hari ini.

Wakil Pemuda PAN, Zubair Rahim yang memberi penerangan dasar itu turut menekankan nilai kekeluargaan yang dapat dipupuk dengan dasar itu.

“Kerana lebih ramai akan dapat tengok bola sepak antarabangsa, mereka akan lebih banyak duduk di rumah menghabiskan masa bersama keluarga,” kata beliau disambut tepukan gemuruh lebih 400 perwakilan Pemuda empat parti komponen Pakatan Harapan.

Itu merupakan antara sepuluh dasar teras manifesto pilihan raya Pemuda PH yang dinamakan “Tawaran Pemuda Pakatan Harapan” sempena Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) yang bakal berlangsung tahun ini.

Mereka turut menawarkan lesen motosikal percuma kepada anak muda bagi membolehkan mereka mula bertapak dalam kerjaya serta penambahan gaji minima daripada RM 1,000 kepada RM 1,500.

Selain itu, manifesto ini turut memuatkan perkara yang sebelum ini pernah dijanjikan oleh pemimpin pembangkang termasuk penyediaan pendidikan percuma di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dengan geran sara diri untuk pelajar miskin dan sederhana, serta pembayaran semula pinjaman pendidikan, PTPTN dilakukan hanya apabila gaji mencecah RM4,000.

Selain itu, program yang telah dijalankan di negeri Pakatan seperti Dana Usahawan Belia bagi kawasan bandar dan luar bandar dan Insentif Perkahwinan Belia RM500 seorang bagi perkahwinan pertama turut dimasukkan.

Menurut Pengarah Konvensyen, Faiz Fadzil, janji yang dibentangkan ini boleh direalisasikan dengan mudah sekiranya Pakatan Harapan menewaskan Barisan Nasional (BN) dalam PRU14 nanti.

Beliau berkata berbeza dengan program Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang bersifat abstrak, tawaran PH lebih jelas dan konkrit.

“Ini merupakan satu solusi konkrit bukan fantasi dongeng seperti TN50. Kenapa kita harus tunggu 2050 kalau kita boleh capai pada 2018,” kata beliau ketika ucapan pembukaan konvensyen. – 7 Januari, 2018.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén