Portal berita terbaik anda

Politik

Pemuda PAS larang umat Islam sambut Krismas

Umat Islam diberi peringatan supaya tidak menyambut Hari Natal atau Krismas esok kerana perayaan tersebut merupakan hari kebesaran penganut agama Kristian yang bertentangan dengan akidah Islam, kata Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Adun Batu Buruk itu dipetik laporan Sinar Harian berkata, sambutan Hari Krismas melibatkan perbuatan mensyirikkan Allah dengan tiga sifat ketuhanan.

“Sambutan Hari Natal mempunyai unsur-unsur syirik sekali gus bertentangan dengan ajaran Islam. Mereka mendakwa Tuhan ada anak, sedangkan ia bertentangan dengan pegangan kita dalam Islam.

“Mereka (penganut Kristian) menyambut Hari Raya Krismas dengan memasukkan unsur-unsur ini dan mereka mendakwa Nabi Isa sebagai anak tuhan,” katanya.

Bagaimanapun dalam laporan itu juga, Muhammad Khalil berkata terdapat ulama yang berpendapat, dibolehkan meraikan hari kebesaran agama lain yang tidak melibatkan pegangan akidah tetapi cuma melibatkan budaya sahaja.

“Hari kebesaran bukan Islam tidak boleh diraikan oleh orang Islam kerana melibatkan pegangan dan kepercayaan agama yang salah, sebaliknya ia diizinkan jika hanya melibatkan perbezaan budaya.

Tunjuk redha pada agama mereka

“Sebagai contoh, perayaan Tahun Baru Cina, ia adalah budaya bukan agama tapi yang melibatkan agama, contohnya Hari Deepavali, kita tidak boleh sambut,” jelasnya.

Muhammad Khalil turut mengingatkan agar umat Islam tidak sewenang-wenangnya menulis status di Facebook bagi memberi ucapan sambutan perayaan itu.

“Lain keadaan sekiranya ada jiran kita beragama Kristian, boleh ucap sebagai tanda menghormati mereka.

“Namun, tidak boleh suka-suka untuk ucap kepada mereka melalui status yang ditulis secara umum contoh di laman sosial Facebook, ia seolah-olah menunjukkan keredaan kepada agama mereka.

“Ada ulama berkata, sebagai meraikan masyarakat majmuk, diizinkan kepada orang-orang tertentu sahaja, namun dalam ruang lingkup yang terhad yang tidak digambarkan melalui perbuatan dan pemakaian kita,” katanya.

Loading...

Leave a Reply