Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Politik

Pemimpin PPBM jual lembu korban beli komputer untuk parti

KUALA LUMPUR — Bimbang ketua bahagian menjual lagi lembu korban, satu laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tindakan itu diambil ahli jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bahagian Bagan Datuk bagi mengelak Abdul Malik Karim mengambil tindakan sama tahun ini, lapor Malaysiakini.

“Kami mendapat maklumat tiga ekor lembu yang diberikan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu [tahun lalu] kepada Malik telah diseleweng.

“Dua ekor lembu dijual oleh timbalan dan naib ketua bahagian PPBM Bagan Datuk dan mereka mengambil duit itu.

“Jumlah dua ekor itu dianggarkan dijual RM5,000 seekor. Hanya satu ekor lembu saja diagihkan ketua PPBM bahagian Bagan Datuk.

“Saya juga salah seorang penduduk di Bagan Datuk terkilan dengan tindakan tiga pemimpin itu yang melanggar hukum syariah Islam,” kata Bahaman Tokiran.

Dalam pada itu, Malik mengakui dakwaan berkenaan dan wang hasil jualan lembu digunakan untuk membeli komputer.

Katanya, wang selebihnya digunakan bagi membayar bil pejabat PPBM Bagan Datuk yang baru memulakan operasi.

“Jadi bila jual lembu itu, duit diserah kembali kepada bendahari, jadi bendahari yang pergi beli komputer dan komputer itu masih ada di pejabat.

“Lembu dijual sekitar RM5,000 seekor, harga komputer RM3,000 lebih dan selebihnya bayar pejabat, bil elektrik, air.

“Kami tidak gunakan duit itu untuk tujuan peribadi,” katanya.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén