Portal berita terbaik anda

Politik

Pemilihan UMNO kritikal, tentukan jatuh bangun parti

PEMILIHAN kepemimpinan baharu UMNO di peringkat cawangan dan bahagian adalah tempoh kritikal bakal menentukan masa depan parti.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata akar umbi perlu memilih pemimpin dengan adil, matang dan berintegriti untuk kembali mengangkat parti keramat Melayu itu sebagai wadah politik utama negara.

Beliau yang menjalankan tugas Timbalan Presiden berkata, pemilihan itu adalah ruang memperbaiki parti dengan hikmah dan kewarasan, bukannya untuk bergaduh atau memburukkan sesama sendiri.

“Terimalah hakikat dan keluar daripada kepompong kekalahan. UMNO tidak dibina berlandaskan wang ringgit, darjat dan kedudukan yang disandang. Jangan biarkan pemilihan ini meretakkan kesatuan UMNO.

“Ingat, UMNO berjuang untuk membela nasib bangsa Melayu dan rakyat. Ketepikan ego, sifat angkuh, kepentingan peribadi dan politik menikam belakang.

“Inilah peluang kita untuk sama-sama meletakkan kembali perjuangan UMNO ke landasan yang betul,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis Tertinggi (MT) UMNO menetapkan tarikh persidangan tahunan cawangan dan sayap Wanita, Pemuda serta Puteri bermula 19 Jun hingga 10 Jun, manakala peringkat bahagian bermula 30 Jun depan.

Persidangan dilaksanakan secara serentak dengan pemilihan parti di peringkat cawangan, bahagian serta sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Pemilihan pimpinan parti peringkat nasional bakal menyaksikan semua jawatan tertinggi termasuk Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden, dipertandingkan seperti diputuskan MT, minggu lalu.

Loading...

Leave a Reply