Portal berita terbaik anda

Utama

Pemborong minta kerajaan benarkan upah pekerja asing tanpa dokumen

Kini berdepan kekurangan tenaga kerja yang mengakibatkan hanya sebagian kecil gerai makanan laut kembali beroperasi di Pasar Borong Kuala Lumpur, para pemborong meminta agar kerajaan mengizinkan mereka untuk mengambil pekerja imigran tanpa dokumen.

Bercakap dengan Malaysiakini, Persatuan Pemborong Ikan Hoi Seong Kuala Lumpur, Sing Kian Hock berkata hanya 22 gerai makanan laut daripada 168 yang beroperasi semula Sabtu lalu.

Malah katanya, hanya enam gerai yang beroperasi awal hari ini.

Katanya, tenaga kerja selalu menjadi isu kontroversi bagi pemborong makanan laut kerana mereka menggaji sehingga 90 peratus pekerja imigran yang kebanyakannya tidak mempunyai dokumen.

“Justeru, apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan bahawa hanya pekerja yang mempunyai dokumen yang (dibenarkan) masuk (pasar borong), kebanyakan gerai terjejas dan tidak dapat beroperasi semula,” katanya.

Kerajaan mengenakan peraturan yang lebih ketat terhadap pemborong susulan wabak Covid-19 di pasar borong itu dan kawasan sekitarnya.

Pasar borong itu ditutup selama lima hari minggu lalu, dan kawasan sekitar pasar borong diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan yang diperketatkan (PKPD) sejak 20 April.

PKPD juga mengakibatkan pekerja imigran pasar borong terkurung di rumah mereka, mengakibatkan banyak peniaga tidak dapat meneruskan operasi atau beroperasi dalam skala yang lebih kecil ketika pasar borong dibuka kembali pada 25 April.

Selain itu, kerajaan juga menetapkan peniaga dan pemborong terlebih dahulu perlu membuat saringan untuk memastikan mereka bebas dari jangkitan Covid-19, sebelum dibenarkan beroperasi.

Mengulas lanjut, Sing berkata hanya 30 peratus pekerja imigran di pasar yang tinggal di luar kawasan PKPD.

Sing menggesa kerajaan memberikan kebenaran sementara kepada pekerja imigran yang tidak mempunyai dokumen untuk membantu pemborong.

“(Untuk penyelesaian jangka panjang), kami mendesak kerajaan untuk memberikan dokumen kebenaran untuk mereka bekerja. Persatuan kami telah mendekati berbagai kementerian dalam dua tahun terakhir dalam hal ini tetapi tidak berhasil,” katanya.

“Kerajaan berkata pemborong mengoperasikan gerai dan bukan kedai. Itulah sebabnya pekerja imigran kami tidak dapat dokumen bekerja.

Pekerja tempatan tak sanggup hidu bau

“Sangat sukar bagi kami menggaji pekerja tempatan kerana mereka tidak mahu bekerja dalam pekerjaan 3D (berbahaya, kotor dan sukar). Kotak ikan berat sehingga 200kg dengan ais. Tidak banyak yang sanggup menghidu bau dan mengangkat berat seperti itu,” katanya.

Sing menambah bahawa dia akan membincangkan perkara itu dengan DBKL dan bahkan menulis surat kepada Kementerian Sumber Manusia.

“Saya akan membangkitkan perkara itu bukan hanya untuk pihak persatuan saya tetapi juga untuk semua orang yang terlibat dengan masalah ini.

“Ini termasuk rakan pemborong sayur dan buah di pasar borong, serta penjaja dan pemborong makanan laut dalam industri,” katanya.

Kerajaan membenarkan pekerja imigran yang mempunyai dokumen diupah untuk sektor pembuatan, pembinaan, perladangan dan pertanian.

Dianggarkan bahawa negara ini mempunyai kira-kira empat juta pekerja asing dengan lebih daripada separuh daripadanya tidak mempunyai dokumen.

Di bawah Rancangan Malaysia ke-11, Malaysia merancang untuk mengehadkan pengambilan pekerja asing di bawah 15 peratus daripada jumlah tenaga kerja di negara ini pada tahun 2020.

Malaysia mencatatkan sejumlah 15 juta pekerja pada 2019.

Loading...

Leave a Reply