Portal berita terbaik anda

Nahas & Bencana

Pemandu maut, van kilang terbakar dalam kemalangan

KUALA KANGSAR – Seorang wanita rentung setelah van kilang dipandunya terbakar dalam kemalangan di Kilometer 53.8, Jalan Ipoh-Taiping berhampiran lampu isyarat Taman Bunga Raya di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 6.05 petang itu, mangsa, 38, tersepit di tempat duduk pemandu maut manakala seorang penumpang wanita berusia 20 tahun mengalami luka-luka pada kepala dan seorang lagi penumpang lelaki berusia 28 tahun bagaimana pun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kemalangan itu membabitkan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan X-Trail dipandu pesara guru berusia 54 tahun dan van kilang dinaiki mangsa bersama dua pekerja kilang.

Katanya, siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku ketika SUV dipandu lelaki itu yang dalam perjalanan dari arah Kuala Kangsar ke Padang Rengas mahu membelok ke kiri menghala Jalan Haji Tais.

“Ketika kenderaan itu sedang membelok, van kilang yang berada di belakang tidak sempat berhenti lalu terlanggar bahagian belakang kanan SUV berkenaan.

“Pelanggaran menyebabkan van itu terbalik dan melintang di tengah jalan sebelum terbakar,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, dua orang penumpang van sempat keluar menyelamatkan diri namun pemandunya tersepit di dalam kenderaan yang sedang terbakar.

Katanya, kebakaran kenderaan itu berjaya dipadamkan oleh pasukan bomba tetapi mangsa disahkan telah meninggal dunia dalam kejadian tersebut.

“Pemandu SUV tidak cedera manakala mangsa yang rentung telah dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat dan seorang pekerja kilang yang cedera turut dirujuk ke hospital sama untuk rawatan,” katanya. -K! ONLINE

Loading...

Leave a Reply