Pemandu lori rempuh 15 kenderaan dipenjara 5 tahun

0
384

KAJANG – Seorang pemandu lori dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan memandu lori secara berbahaya dari Kajang menghala ke Subang Jaya, awal bulan lalu.

Majistret Nor Afidah Idris menjatuhkan hukuman itu terhadap Nik Muhamad Khairul Azhar Nik Azmi, 28, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman secara serentak bermula dari tarikh tangkap iaitu 7 Mei lalu selain lesen memandu tertuduh turut digantung selama tempoh tiga tahun.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memandu sebuah lori yang membawa muatan batu secara berbahaya apabila tidak memberhentikan kenderaan itu untuk pemeriksaan sekatan jalan raya.

Tertuduh juga didakwa cuba melanggar anggota polis dan telah melanggar beberapa buah kenderaan lain.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Suntex Pekan Batu 9, dekat sini pada pukul 11 pagi, 7 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memandu atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan cubaan membunuh dengan cuba melanggar dan menghimpit seorang anggota polis, Mohd. Ridzuan Zakaria menggunakan lori yang dipandunya di Kilometer 12, Lebuhraya Grand Saga dekat sini pada tarikh dan waktu yang sama.

Pertuduhan ketiga pula, dia didakwa dengan sengaja melanggar sekatan jalan raya dan menghalang Inspektor Afiq Azhar Azrul Hardav menjalankan tugasnya pada tarikh dan waktu yang sama di Jalan Suntex Pekan Batu 9, dekat sini.

Mengikut pertuduhan keempat, lelaki itu didakwa telah melakukan perbuatan khianat iaitu dengan sengaja melanggar sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux berwarna hitam milik Mohd. Suffian Husaini Mohamed, 37, sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM2,000.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Kilometer 12, Lebuhraya Grand Saga dekat sini pada tarikh dan waktu yang sama.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam bela, Nor Asyikin Zakaria memohon dikenakan hukuman penjara minimum dengan alasan sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Suraya Ahmad, membantah rayuan itu kerana kesalahan membabitkan tindakan yang sangat bahaya bukan saja kepada diri sendiri malah orang awam. – K! ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here