Pelakon Prebet Lapok, Haji Tawil meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Pelakon filem Prebet Lapok, Tawil, 69, atau nama sebenarnya Abu Bakar Ahmad meninggal dunia akibat sesak nafas di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR), Sri Aman, Kepong, di sini, jam 2.15 pagi, hari ini.

Isteri Allahyarham, Azah Abdul Kahar, 62, ketika dihubungi berkata, suaminya mengalami sesak nafas teruk sepanjang minggu ini.

“Suami memang ada semput atau sesak nafas sudah lama. Cuma minggu ini makin teruk. Kalau berjalan ke lif dia cepat penat. Apatah lagi dalam rumah, nak ke tandas pun sama.

“Lebih kurang jam 1 pagi tadi dia sesak nafas teruk. Dia mencangkung dekat meja makan. Jadi, saya menghubungi ambulans. Dalam masa sama saya minta tolong jiran angkat dia ke katil.

“Ketika itu, saya sempat kesat air liur dia. Kemudian dia pandang saya dan terus pejam mata. Dia macam orang tidur. Jiran kata nadinya sudah tak kuat. Rupa-rupanya waktu itu dia sudah nazak. Apabila pegawai perubatan sampai, dia periksa dan suami sudah tiada,” katanya kepada Harian Metro.

Azah yang tinggal berdua dengan suaminya di situ berkata, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik selain sesak nafas dialami.

“Kami memang tinggal berdua saja di rumah. Semua anak-anak duduk tempat lain. Suami tak ada pula tunjukkan perubahan sikap.

“Cuma sejak kebelakangan ini dia selalu cakap mengenai Covid-19 yang boleh membawa maut. Saya beritahu dia, memanglah Covid-19 itu ada. Manalah saya tahu maksud tersirat itu. Rupa-rupanya dia nak pergi hari ini,” katanya.

Menurut Azah, jenazah disempurnakan di Surau Al Hijrah PPR Sri Aman sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ipoh.

Tahun lalu, Allahyarham antara 25 penggiat seni menerima surat tawaran unit PPR di bawah Inisiatif Perumahan Komuniti Seni Prihatin atas usaha Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk golongan veteran tidak berkemampuan.

Bagaimanapun, unit kediaman didudukinya dibiayai sepenuhnya oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan bayaran RM35,000, sebelum arwah dan isteri berpindah pada Mac lalu.

Allahyarham Tawil banyak membintangi drama dan filem serta bergelar pengacara sekitar 1970-an dan 1980-an.

Mula mencipta nama menerusi filem Prebet Lapok arahan Allahyarham Datuk Aziz Sattar, bergandingan bersama bintang utamanya, AR Badul.

Selain itu, Allahyarham turut membintangi filem hebat seperti Darah Satria, Setinggan, Da Di Du, Serampang Tiga, Penyamun Tarbus dan banyak lagi.

Kali terakhir anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur itu tampil menerusi telefilem Taubat Seorang Samseng pada 2013.

Loading...

Leave a Reply