Portal berita terbaik anda

Utama

Pelajar UiTM cipta sejarah dunia, catat skor 100 peratus dalam ujian perakaunan

TIADA pengetahuan asas dalam bidang perakaunan sedikit pun tidak menghalang Hakeem Mohammad Akmal, 18, untuk mendapat skor penuh 100 peratus bagi kertas FA1 Recording Financial Transactions sekali gus mencipta sejarah dunia dengan berada di tempat pertama bagi subjek berkenaan.

Penuntut program Certified Accounting Technician (CAT) Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) memperoleh skor penuh berkenaan bagi sesi Julai – Disember 2019 seterusnya berjaya mengekalkan kecemerlangan selepas memperoleh keputusan 9A pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Hakeem berkata, dia tidak menyangka akan menerima anugerah berkenaan yang dikurniakan oleh badan profesional perakaunan The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) United Kingdom memandangkan dia tiada asas dalam perakaunan berbanding rakan kuliah lain yang lebih berpengalaman.

“Sebelum ini saya mengambil jurusan sains tulen di peringkat sekolah menengah, namun saya buat keputusan tukar haluan kerana ingin mencuba sesuatu yang baru dan lebih mencabar.

“Alhamdulillah urusan saya dipermudahkan apabila dikelilingi rakan serta tenaga pengajar yang banyak membantu walaupun saya terlalu banyak bertanya,” katanya.

Berkongsi tips belajar, anak ketiga daripada lima beradik itu masih keluar bersama rakan melakukan aktiviti seperti menonton wayang dan bersukan, namun dia meletakkan had supaya tidak leka.

“Jangan lagho (leka) sangat, kena pandai ‘control’. Tugas kita sebagai penuntut harus belajar sampai dapat yang terbaik, jangan pula terbaik dalam melepak.

“Saya juga bertuah kerana pensyarah yang mengajar kertas ini banyak membantu biarpun di luar waktu kelas. Saya pula seorang yang tidak akan puas selagi tidak faham sesuatu perkara.

“Di sini, saya dapat lihat kerjasama daripada tenaga pengajar dan penuntut amat penting untuk sama-sama berjaya kerana jika sebelah pihak saja yang bersungguh-sungguh mungkin tidak akan ke mana,” katanya yang berasal dari Langkawi, Kedah.

Katanya, dia merancang melanjutkan pengajian dalam bidang percukaian di UiTM melalui ACCA memandangkan jurusan itu agak mencabar dan mempunyai peluang pekerjaan yang luas.

“Zaman sekarang kita perlu bijak mengatur langkah. Belajar sesuatu yang boleh mendatangkan kebaikan pada masa depan dan bukan sekadar untuk memenuhi minat. Minat boleh datang kemudian, yang penting kesungguhan untuk mengubah masa depan.

“Kelilingi juga diri dengan orang yang positif dan rajin. Itu semua menyumbang kepada kejayaan tanpa kita sedari. Insya-Allah, kejayaan akan menyusul selepas kita lakukan yang terbaik di samping menjaga hubungan dengan keluarga dan Allah SWT,” katanya.

Terdahulu, UiTM memuat naik ucapan tahniah kepada Hakeem selepas diumumkan penuntut terbaik dalam kertas FA1 Recording Financial Transaction.

Loading...

Leave a Reply