Pelajar perubatan didakwa jadi bapa ayam

KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar perubatan tahun akhir di sebuah universiti awam di sini, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan muncikari atau menjadi bapa ayam di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini.

Tertuduh yang juga doktor pelatih Mohd Luqman Zulkepli, 29, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Syarie, Kamalruazmi Ismail.

Dia didakwa atas pertuduhan mengikut Seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana muncikari.

Kes ini adalah yang pertama seumpamanya di Mahkamah Syariah.

Mengikut pertuduhan, Mohd Luqman melakukan muncikari atau menjadi orang tengah terhadap perlakuan sumbang antara seorang perempuan dan lelaki.

Dia dituduh melakukan pertuduhan itu antara jam 2.43 pagi hingga 6.05 petang antara 27 hingga 28 Ogos 2018 di sebuah hotel di bandar raya ini.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Februari depan sebagai sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dijalankan Pendakwa Syarie Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Mohd Khasmizan Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam Fazru Anuar Yusof dan Mohd Sofian Arifin.

Sebelum ini media melaporkan, dua bapa ayam warga tempatan mengenakan caj antara RM250 hingga RM600 untuk ‘menjual’ perkhidmatan tiga pelacur di bawahnya menggunakan aplikasi We Chat yang menjadikan dua hotel ternama di bandar raya ini sebagai lokasi operasinya.

Bagaimanapun, semua mereka ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dalam dua serbuan berasingan di dua hotel berkenaan pada Ogos lalu.

Loading...

Leave a Reply