‘Pelacur otai’ dijatuhi hukuman sebat

0
1451

KUALA TERENGGANU – Seorang janda yang dikenali sebagai ‘pelacur otai’ dikenakan empat sebatan dan diarahkan menjalani pemulihan akhlak selama enam bulan atas kesalahan melakukan persediaan melacurkan diri.

Keputusan itu dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, di sini, hari ini, terhadap wanita berusia 45 tahun dan berasal dari Johor Bharu itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

Mengikut pertuduhan, dia yang kini menetap di Klang, Selangor, ditahan dalam serbuan di sebuah hotel mewah, di sini, bersama seorang lelaki dipercayai pelanggannya, kira-kira jam 11 malam, pada 19 September lalu.

Hasil siasatan, dia mengaku menerima upah khidmat seks diberikan dengan mengenakan bayaran antara RM200 hingga RM1,000 untuk satu malam daripada pelanggan sebelum lapan barang kes dirampas termasuk beberapa botol minyak dan jel pelincir serta kondom yang masih tidak digunakan.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Mohd Kahzmizan Abdullah di hadapan Hakim Syarie, Kamalruazmi Ismail manakala tertuduh diwakili peguambela, Fazru Anuar Yusof dan Ummu Abihah Mohd Roslan.

Kamalruazmi mengarahkan hukuman sebatan dijalankan di Penjara Wanita Kajang selepas tempoh 14 hari rayuan diberikan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here