Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Utama

Pekerja Utusan susah, terpaksa gadai barang kemas untuk teruskan hidup

KUALA LUMPUR – Ekoran tidak dibayar gaji melebihi dua bulan, sejumlah 769 kakitangan Utusan Melayu dilaporkan hidup dalam serba kekurangan dan tekanan.

Malah menurut Setiausaha Agung Kesatuan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Chin Sung Chew, disebabkan kesempitan wang, ada daripada kalangan ahli mereka di Utusan bertindak membuat pinjaman Ah Long bagi menampung hidup.

“Ahli kami kini berhutang keliling pinggang kerana tiada gaji untuk membayar pinjaman peribadi, rumah dan kenderaan. Malah ada juga yang berhutang Ah Long sampaikan bergadai bergolok barang kemas sendiri untuk memberikan makan anak-anak.

“Paling sedih, hendak mengisi petrol kenderaan untuk keluar bekerja pun sudah tidak mampu apatah lagi untuk melakukan tugasan membuat liputan. Lebih menyukarkan keadaan apabila terdapat pasangan suami isteri yang bekerja di Utusan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat NUJ, hari ini.

Bagaimanapun, NUJ tidak dapat memperincikan berapa bilangan kakitangan yang mengambil pinjaman Ah Long dan berapa jumlah pinjamannya.

Menurut Sung Chew lagi, potongan gaji untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), potongan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pinjaman bank, insuran, SOCSO, yuran bulanan NUJ, yuran koperasi dan potongan Tabung Haji juga dibuat namun tidak dicarum.

“Ada ahli kami yang terpaksa memberikan air sirap kepada anak kecil mereka untuk menggantikan susu yang sudah tidak mampu lagi berikutan ketiadaan yang mencukupi untuk berbuat demikan,” katanya lagi.

Mengikut NUJ, bayaran terakhir gaji yang diterima mereka adalah pada bulan Jun lalu untuk bukan eksekutif dan hanya RM2,000 bagi eksekutif untuk bulan yang sama.

Tambah Sung Chew, pihak majikan juga gagal memberikan penjelasan mengapa Utusan Melayu tidak mahu menjual aset berjumlah RM400 juta bagi membayar tunggakan gaji pekerja yang hanya sebanyak kira-kira RM5.3 juta sahaja.

Untuk rekod, kadar bayaran gaji tertunggak bagi pekerja eksekutif adalah sebanyak dua bulan manakala bagi bukan eksekutif, sebulan gaji.

Kemelut ini turut dipanjangkan kepada Pengerusi Eksekutif, Datuk Aziz Sheikh Fadzil.

Namun tiada sebarang maklum balas daripada beliau biarpun pihak NUJ Utusan telah bertanyakan secara peribadi menerusi WhatsApp.

Aziz dilaporkan sedang mengerjakan haji di Mekah.

“Mengikut perancangan Utusan, ada kaedah penstrukturan dan pemulihan di mana lakukan Skim Pemisahan Sukarela (VSS), dan akan jual aset-aset yang ada berjumlah RM400 juta tapi proses itu kami tidak tahu apa masalahnya,” katanya lagi.

Langkah lain bagi mendesak pihak Utusan menjelaskan gaji yang tertunggak, pekerja Utusan merancang mengadakan piket pada 19 Ogos ini dihadapan pintu masuk syarikat surat khabar itu. -MalaysiaGazette

Leave a Reply

Theme by Anders Norén