Portal berita terbaik anda

Utama

Pekerja kilang maut selepas tercampak keluar daripada kereta

SEBERANG PERAI – Seorang pekerja kilang maut selepas kereta yang dipandunya terbabas dalam satu nahas jalan raya berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Tun Hussein Onn menghala ke Seberang Jaya di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi itu, mangsa, Muhammad Juffri Aidil Jamaluddin, 23, dikatakan turut tercampak keluar daripada kereta jenis Perodua Myvi berwarna kelabu itu dan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, semakan daripada televisyen litar tertutup (CCTV) di stesen minyak berkenaan mendapati, kereta yang dipandu mangsa terbabas sendiri sebelum terbalik beberapa kali sebelum mangsa tercampak keluar.

Katanya, ketika pasukan penyiasat sampai ke lokasi kejadian, kereta tersebut berada dalam keadaan melintang di atas laluan keluar stesen minyak berkenaan.

“Siasatan juga mendapati, ketika kejadian, cuaca baik dan jalan berada dalam keadaan lurus, rata dan berturap selain tiada kesan brek,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, kereta mangsa remuk di bahagian hadapan, atas, kiri dan kanan.

“Mayat mangsa juga telah dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat bagi mengesahkan punca sebenar kematiannya.

“Buat masa ini, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujar beliau.

Loading...

Leave a Reply