Portal berita terbaik anda

Utama

Sarang judi di pusat bandar Kuala Terengganu dimusnahkan

KUALA TERENGGANU – Sarang perjudian yang berselindung di sebalik kawasan perkuburan berhampiran parkir di Jalan Banggol dan Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sini, dibersihkan pihak berkuasa tempatan, semalam.

Operasi memusnahkan kawasan perjudian yang dikatakan beroperasi pada waktu malam itu juga, turut bertujuan membersihkan sekitar perkuburan berkenaan dari semak samun dan sampah sarap yang mencacatkan pemandangan bandaraya.

Kerja-kerja pembersihan bermula seawal jam 8.30 pagi disertai kira-kira 40 pegawai dan kakitangan MBKT dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) .

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ustaz Ahmad Shah berkata, kerajaan negeri amat memandang serius masalah yang dikatakan sudah berlaku sejak sekian lama sekali gus operasi berkenaan memberi kelegaan kepada komuniti setempat yang tidak selesa dan bimbang keselamatan mereka dengan kewujudan aktiviti jenayah seumpama itu.

“Rata-rata komuniti setempat yang hadir memberitahu mereka sangat menunggu operasi ini sejak sekian lama dan Alhamdulillah hari ini kerajaan baru telah melunaskan hasrat (membanteras) gejala itu. Kita akan terus memantau lokasi yang menjadi `sarang ‘ aktiviti tidak bermoral yang jelas bercanggah dengan undang-undang agama dan negara kita ini dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui media Urusetia Penerangan Darul Iman di kawasan operasi, semalam.

Turut menyertai operasi itu, Ahli Majlis MBKT, Khairuddin Mohamad.

Ahmad berkata, langkah membanteras aktiviti tidak bermoral itu sudah menjadi tanggungjawab kerajaan bagi memastikan negeri dan rakyat berada dalam keadaan aman, sejahtera serta patuh kepada undang-undang mahupun syariat Allah SWT.

Sumber: teganukita

Loading...

Leave a Reply