Pasangan pengantin ini jadikan selipar Jepun sebagai mas kahwin

JAKARTA – Dalam majlis pernikahan di Indonesia, pengantin lelaki biasanya memberikan mas kahwin berbentuk wang tunai, emas, al-Quran atau persalinan solat tetapi lain pula pasangan ini yang memilih sepasang selipar Jepun.

Majlis perkahwinan Budi Risdiyanto dan pasangannya, Julia Warasita menjadi tular di media sosial di Indonesia selepas mereka memilih selipar Jepun sebagai mas kahwin.

Gambar pasangan itu memegang selipar Jepun yang diletakkan dalam bingkai gambar tular selepas dimuat naik di Facebook oleh seorang pengguna dikenali sebagai Nabilla Safira Yuriztya.

“Alhamdulillah sah dengan mahar sepasang selipar. Semoga sakinah mawaddah warrohmah Julia dan Budi,” tulis wanita itu.

Seorang pengguna Facebook pula memberitahu, pernikahan pasangan berkenaan diadakan di kediaman pengantin wanita di Desa Sumberadi, Somalangu, Kebumen, Jawa Tengah pada 29 Disember lalu.

Pada mulanya, ramai pengguna media sosial meragui kisah berkenaan dan tidak percaya pasangan itu memilih selipar sebagai mas kahwin.

Bagaimanapun, seorang pengguna media sosial memuat naik video akad nikah pasangan itu untuk membuktikan kisah berkenaan adalah benar.

Dalam video itu jelas suara orang yang menikahkan pasangan itu berkata, “Saudara Budi Risdiyanto, Saudara saya nikahkan dan kahwinkan dengan Julia Warasita yang walinya telah mewakilkan kepada saya dengan mas kahwin sepasang sandal dibayar tunai.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *