Portal berita terbaik anda

Utama

Pasangan ‘Instafamous’ beri alasan palsu rentas negeri untuk berbulan madu – Polis

KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri yang merentas negeri untuk tujuan berbulan madu memberi keterangan palsu berkaitan alasan memohon kebenaran rentas negeri.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata pasangan itu telah membuat persiapan awal dengan membuat tempahan hotel secara dalam talian pada bulan Disember 2020 untuk menyambut ulang tahun perkahwinan pada 17 Mac 2021.

“Pihak polis telah menjalankan siasatan secara menyeluruh setelah wujud keraguan berdasarkan keterangan yang diberikan oleh pasangan tersebut kepada pihak polis pada 20 Mac.

“Oleh yang demikian, polis telah membuka kertas siasatan terhadap kedua-dua individu tersebut di bawah Seksyen 22(d) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Jika disabitkan kesalahan, pasangan ini boleh dikenakan tindakan kompaun sehingga RM10,000,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Mengulas lanjut Ashari memberi amaran kepada orang ramai supaya jangan menyalahgunakan kebenaran rentas negeri yang diberikan untuk urusan perniagaan, kerja atau pun kecemasan.

“Jangan melakukan program aktiviti peribadi lain serta bercanggah dengan alasan yang diberikan kepada pihak polis sewaktu memohon pergerakan rentas negeri.

“Dalam usaha memerangi penularan COVID-19 ini, semua individu seharusnya memainkan peranan masing-masing dan bekerjasama dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan sebagaimana yang ditetapkan oleh kerajaan,” tegasnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta untuk menyalurkannya ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Hotline IPD Wangsa Maju di talian 03-9289 9222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Baru-baru ini, tular di media sosial beberapa gambar dimuat naik oleh seorang wanita melalui ‘Instagram Stories’ bersama kapsyen mengenai tip bagaimana mendapat kebenaran polis untuk merentas negeri bagi tujuan berbulan madu.

Menurut wanita yang juga seorang ‘instafamous’ itu, dia membuat tempahan tempat percutian sejak Disember lalu dan mendakwa pegawai polis di tempat beliau mudah untuk memberi pelepasan.

Perkara itu menimbulkan rasa kurang senang dan kecaman daripada netizen serta menganggap tindakan pasangan suami isteri itu sebagai tidak sensitif dengan keadaan semasa.

Loading...

Leave a Reply