PAS, Umno positif pengundi Sungai Kandis buat protes

0
336

Umno dan PAS bersepakat mendakwa Pakatan Harapan (PH) kini semakin ditolak rakyat berdasarkan kepada apa yang berlaku di Sungai Kandis, Selangor semalam.

Menyandarkan hujah kepada peratusan jumlah pengundi yang rendah semalam, mereka berkata ia adalah petanda rakyat semakin hilang minat mempertahankan PH.

Ketua Wanita Umno Datuk Dr Noraini Ahmad misalnya berkata PH cuma meraih 63.9 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi sebanyak 52,650 orang.

“Dengan peratusan keluar mengundi yang menyusut kepada hanya 50 peratus berbanding 85 peratus pada PRU ke-14 lalu, ia mencetuskan persoalan sama ada wujud protes rakyat terhadap janji-janji dalam manifesto PH yang belum lagi tertunai dalam tempoh 100 hari seperti dijanjikan.

“Adakah ia juga suatu mesej daripada sebilangan orang Melayu dan Islam yang berasakan kedudukan mereka mula tergugat dan tidak sehaluan dengan `rentak’ Malaysia baru?” katanya dalam satu kenyataan mengulas mengenai pilihan raya kecil (PRK) di Sungai Kandis itu.

Calon PH yang juga pengetua sebuah sekolah Tahfiz, Mohd Zawawi Ahmad Mughni mempertahankan kerusi itu buat PH selepas mengetepikan dua pencabar lain.

Mereka ialah bekas panel pemikir Bahagian Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Lokman Noor Adam yang mendapat 9.585 undi serta calon bebas K Murthy (97 undi).

Mohd Zawawi mendapat 15,427 undi.

Rendah walaupun Sabtu

SPR memaklumkan keputusan rasmi menunjukkan jumlah pemilih keluar mengundi berada pada tajap 49.4 peratus.

PAS tidak meletakkan calonnya walaupun kawasan itu mempunyai peratusan pengundi Melayu yang signifikan. Namun pemimpin parti terbabit menggesa penyokong mereka memberikan undi kepada Lokman sebagai tanda mereka menolak PH.

Untuk rekod PAS bertanding di Sungai Kandis pada PRU lalu dan calonnya Mohd Yusof Abdullah mendapat 7,573 undi.

Menurut Noraini pada 9 Mei lalu BN hanya mencatat kemenangan di dua daripada 19 pusat daerah mengundi (PDM) iaitu Sungai Kandis dan Kampung Pandan.

“Namun dalam PRK kali ini, BN menang di empat PDM iaitu Johan Setia, Kampung Pandan, Seri Gambut dan Bukit Naga,” katanya.

Justeru anggota parlimen Parit Sulong itu optimis Umno tetap mempunyai masa depan.

Sementara itu Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir berkata pengundi kini jelas semakin menolak PKR dan gabungan PH.

“Peratusan keluar mengundi yang kecil iaitu 49.4 peratus sedangkan hari mengundinya pada hari Sabtu turut menunjukkan rakyat mula hilang minat mempertahankan PH, kerajaan yang baru berusia tidak sampai 100 hari itu,” katannya yang dipetik Bernama.

Kata Roslan lagi keputusan itu juga menunjukkan pembangkang berjaya “membongkar kelemahan PH” sehingga pengundi di kawasan terbabit membuat protes dengan enggan keluar mengundi, atau mengundi Lokman.

Roslan juga yakin usaha menyatukan pembangkang mendapat tempat yang baik di kalangan rakyat.

“Kerjasama pembangkang seumpama di PRK Sungai Kandis sewajarnya diterus dan dipertingkatkan pula dalam PRK Seri Setia agar agenda memperkasakan suara pembangkang bakal menjadi realiti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here