Pas tidak letak calon untuk PRK Sungai Kandis

0
83

SHAH ALAM – Pas tidak akan meletakkan calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Kandis, 4 Ogos ini.

Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata ketetapan itu dibuat sejurus Umno membuat keputusan untuk meletakkan calon pada PRK itu.

“Oleh kerana Umno telah memutuskan untuk menyertai (bertanding) PRK ini maka Pas tidak akan letakkan calon. Kenyataan lebih terperinci bagaimanapun akan dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Roslan Shahir berkata Pas tetap dengan prinsip yang dipegang sebelum ini bahawa pertandingan satu lawan satu bakal memberi peluang terbaik buat pembangkang.

Berhubung sama ada Pas akan bekerjasama dengan Umno pada PRK itu, beliau berkata isu itu tidak berbangkit kerana Pas cuma memutuskan untuk tidak bertanding.

“Selebihnya akan dihuraikan lebih lanjut oleh setiausaha agung parti,”katanya.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan memberitahu Bernama bahawa timbalan presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengumumkan calon UMNO yang bertanding pada PRK itu, esok.

Seramai 51,217 pengundi berdaftar dijangka keluar mengundi pada PRK DUN Sungai Kandis yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR pada 2 Julai lepas akibat kanser limfoma.

Penamaan calon ditetapkan Sabtu ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Mat Shuhaimi mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) untuk penggal ketiga berturut-turut dengan memperoleh 23,998 undi mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518), calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hanafiah Husin (76).-Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here