Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Politik

Pas terima pelantikan Tommy dengan berlapang dada

Di sebalik pandangan-pandangan negatif dikeluarkan sesetengah pihak, PAS secara rasmi berkata, mereka berlapang dada menerima Tommy Thomas sebagai peguam negara (AG) yang baru.

Dalam satu kenyataan malam ini Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata PAS menerima pelantikan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong itu dengan hati terbuka serta berlapang dada berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

PAS juga kata Takiyuddin mengucapkan tahniah kepada Thomas sambil berharap beliau akan sentiasa bertindak secara berperlembagaan serta memelihara kedaulatan undang-undang.

Tidak ketinggalan katanya Thomas mesti bertindak secara saksama dan adil (impartial) dengan mengambil kira segala aspek sejarah dan niat pembuat sesuatu undang-undang (intention of the legislation) semasa melaksanakan tanggungjawabnya.

“Terutama berkaitan dengan undang-undang yang melibatkan orang Islam serta institusi yang berkaitan dengannya,” kata Takiyuddin.

Untuk seketika pelbagai reaksi muncul daripada orang ramai, termasuk di kalangan pemimpin PAS yang berasa kurang senang dengan langkah kerajaan Pakatan Harapan menamakan Thomas sebagai calon tunggal untuk jawatan AG.

Keadaan menjadi lebih ‘panas’ apabila ada laporan mendakwa Agong tidak memberikan perkenannya terhadap cadangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

AG dan pengerusi surau

Ketua Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan malah memberikan analogi menarik mengenai mengapa beliau tidak bersetuju Thomas dilantik menjadi AG.

Kata bekas anggota parlimen Temerloh berkenaan, dimisalkan beliau mempunyai seorang jiran bukan beragama Islam yang sangat baik dan mesra, ia masih tidak membolehkan individu terbabit menjadi pengerusi surau.

Di Kelantan pula PAS menganjurkan solat hajat sebagai tanda kebersamaan parti terbabit dengan Agong.

Harakahdaily melaporkan solat hajat itu – yang diadakan selepas solat tarawih di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke IV – dihadiri ribuan orang.

Bagaimanapun beberapa jam selepas solat itu diadakan, Istana Negara mengeluarkan kenyataan memaklumkan Agong, Sultan Muhammad V, berkenan menerima cadangan kerajaan untuk melantik Thomas sebagai AG.

Takiyuddin berkata PAS bersedia memberikan kerjasama kepada AG dalam segala hal-hal yang membawa kebaikan.

“Pada masa sama PAS akan bertindak sebagai pembangkang yang konstruktif serta berperanan sebagai semak dan imbang dengan memberikan pandangan, cadangan serta membuat pendirian dalam perkara perkara yang menyentuh kepentingan umum, sama ada bagi umat Islam mahupun yang lain,” katanya.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén