PAS sudah menyimpang dari perjuangan – Mukhriz

0
2559

SHAH ALAM – Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyifatkan Pas sudah menyimpang dari perjuangan selepas parti itu bekerjasama dengan Umno.

Menurutnya, sudah terang lagi bersuluh laungan semangat Umno hanya digunakan untuk kepentingan Datuk Seri Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor dan suku-sakat mereka.

Tanpa berselindung, Menteri Besar Kedah itu lantang mengatakan Umnolah pengkhianat bangsa sebenar dan kini Pas pula bersekongkol dengan mereka.

“Pas kini bersekongkol dengan mereka, mengiakan kleptokrasi dan salah guna kuasa yang dilakukan Umno BN sebelum ini.

“Jelas sekali Pas kini dah jauh menyimpang dari perjuangan. Sekarang kita tak boleh leka kerana nak lihat hasrat Najib masuk (penjara) Sungai Buloh jadi kenyataan.

“Kita tak boleh leka sehingga risiko boleh kalah dalam mahkamah. Cepat atau lambat, asalkan keadilan ditegakkan, kita tetap sokong,” katanya semasa berucap dalam sambutan Ulang Tahun Kedua PPBM 2018, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mukhriz turut menasihatkan ahli parti supaya tidak risau dengan ‘penghijrahan’ ahli Umno memasuki parti berkenaan.

Menurutnya, pimpinan parti akan memastikan hanya yang baik-baik, bukan mata duitan, bukan kaki bodek diterima masuk.

“Walaupun terima, kita masih perlu menapis dahulu supaya dalam banyak-banyak, hanya yang baik-baik saja masuk. Yang dulu hentam kita tapi sekarang puji, sorrylah sila kekal dalam Umno.

“Jangan hangpa bawa mai penyakit hangpa dalam PPBM. Seharusnya kita kena siap sedia hadapi perkara ini. Mustahak untuk kita bina budaya politik baru yang utamakan rakyat.

“Sama-sama kita buktikan agar PPBM boleh menjadi lebih baik dari Umno. Lebih baik dari Pas dalam menegakkan agama Islam,” ujarnya.

Mukhriz turut menasihatkan semua ahli supaya tidak berasa selesa kerana kejayaan luar biasa parti menuntut pengorbanan luar biasa yang berterusan demi rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here