PAS sanggup ‘cium mulut’ dengan perompak – Muhyiddin

PUTRAJAYA – UMNO dan Pas akan terus menabur fitnah perkauman dan agama semata-mata untuk memburukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di mata umat Islam.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia amalan politik yang amat tidak sihat selain meracuni pemikiran umat Islam.

Jelasnya, pelbagai fitnah serta penggunaan isu agama secara melampau untuk kepentingan politik yang sempit akan menimbulkan kebencian antara masyarakat pelbagai kaum dan agama.

“Jika UMNO dan Pas menyangka mereka boleh menang pilihan raya dengan menabur fitnah berbaur sentimen agama, saya ingin berpesan kepada kedua-dua parti ini janganlah mimpi di siang hari.

“Jauh panggang dari api. Orang Melayu sudah kenal siapa UMNO, siapa Pas. Kedua-duanya dua kali lima sahaja. Seorang perompak, seorang lagi nama sahaja Islam, tetapi sanggup bercium mulut dengan perompak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Tahunan Srikandi dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Jumaat.

Muhyiddin turut meminta UMNO belajar dari sejarah dalam isu hendak berpakat dengan Pas.

Tegasnya, berita UMNO berpakat dengan Pas ini dah berkurun lamanya tetapi tidak pernah berlaku di alam nyata.

“Baru beberapa minggu yang lalu mereka duduk bersama di atas lori di Dataran Merdeka. Pemimpin UMNO dan PAS berpegang tangan dan berpeluk cium sesama mereka.

“Terujalah ahli-ahli UMNO, kononnya inilah masanya kesatuan politik orang Melayu dan Islam akan benar-benar terbina.

“Ini satu detik yang amat bersejarah bagi mereka. Seolah-olahnya, kalau pilihan raya diadakan esok, UMNO dan PAS akan menang dan membentuk sebuah kerajaan baharu,” ujarnya.

Tegas Muhyiddin, walaupun PPBM tidak menggunakan slogan Islam, parti itu tetap melaksanakan dan memperjuangkan Islam.

“Kita mencegah kemungkaran, menentang penyelewengan, memerangi rasuah, meningkatkan pencapaian ekonomi dan mengangkat maruah serta kehormatan umat Islam.

“Inilah kewajipan kita sebagai seorang Muslim. Malah perjuangan menegakkan Islam adalah salah satu asas perjuangan yang termaktub di dalam perlembagaan parti kita,” jelasnya.

Muhyiddin turut mencadangkan penubuhan sebuah Majlis Pemuafakatan Ummah yang dianggotai oleh wakil-wakil kerajaan dan badan-badan Islam untuk bersama-sama menyumbang kepada pembangunan ummah.

Loading...

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *