PAS masih tahap politik budak sekolah – Husam

0
434

ALOR SETAR: PAS ditempelak kerana masih berpolitik cara ‘budak sekolah’ apabila menuduh Kelantan dan Pantai Timur diabaikan dalam pembentangan Belanjawan 2019, semalam.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Husam Musa, berkata sikap PAS sama sekali tidak menunjukkan mahu menjadi matang kerana masih mahu berpolitik, biarpun Pilihan Raya Umum (PRU) sudah berlalu.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN) itu juga berkata, negara kini dipimpin kerajaan baharu yang tidak mengamalkan polisi diskriminasi seperti zaman Barisan Nasional (BN).

“Saya nasihatkan (PAS), janganlah menghentam secara antagonis, seperti budak-budak sekolah. Dalam Belanjawan 2019, tidak perlulah sebut secara khusus seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Jika sudah disebut Kementerian Luar Bandar, maka negeri seperti Kelantan termasuk jugalah.

“Takkan disebabkan Kelantan diperintah PAS, kita perlu sebut satu persatu dalam pembentangan itu. Belajarlah dari PAS Terengganu yang dilihat lebih matang berbanding Kelantan yang takut bayang-bayang sendiri,” katanya selepas merasmikan Konvensyen PAN Kedah di sini, hari ini.

Husam berkata, PAS Terengganu lebih matang kerana belajar dari pengalaman ketika gagal memerintah negeri itu pada 1999 kerana angkuh, tetapi Kelantan lebih angkuh kerana tidak pernah merasai kekalahan.

“Saya lihat, Terengganu kini belajar dari kaedah zaman Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat manakala Kelantan pula, belajar cara Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi Menteri Besar Terengganu,” katanya.

Semalam NSTP melaporkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan pembentangan Belanjawan 2019 tidak seimbang dari segi pembangunan terutama membabitkan negeri di wilayah Pantai Timur, sekali gus mungkin ada pengabaian dari segi perancangan kerajaan.

Mengenai penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kelantan, Husam berkata, negeri yang ditadbir PAS terbabit perlu berpakat bagi memastikan rakyat bersatu dan bukannya bergaduh dalam isu itu.

“Peruntukan untuk MPKK adalah 100 peratus dari Kerajaan Persekutuan dan sewajarnya kesepakatan dalam memimpin boleh dilakukan demi rakyat.

“Keahlian MPKK seramai 16 orang, takkan hanya lima orang dilantik bagi mewakili Kerajaan Pusat. Sudahlah Pengerusi diberi kepada PAS, Setiausaha juga kepada PAS tetapi wakil Pusat hanya menjadi ahli dan peliknya, itupun ditolak Kelantan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here