PAS ‘intim’ dengan Umno, ramai mahu masuk PAN – Salahuddin

0
147

TIMBALAN Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Datuk Salahuddin Ayub tidak menolak kemungkinan beberapa pemimpin PAS akan menyertai parti itu pada masa akan datang.

Salahuddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, pihaknya juga sedang berhubung dengan beberapa kepemimpinan PAS di semua peringkat yang mungkin boleh menyertai PAN kelak.

“Itu (pemimpin PAS menyertai PAN) adalah kemungkinan yang saya rasa akan berlaku pada masa akan datang. Akan ada pimpinan dan ahli bawahan PAS bersama PAN apabila keadaan begitu ketara iaitu PAS benar-benar menjalinkan hubungan yang begitu intim dengan UMNO.

“Ahli-ahli biasa (PAS) yang bawah sudah ramai (menyertai PAN). Cuma kita sekarang ini sedang mengadakan hubungan dengan beberapa kepemimpinan (PAS) di semua peringkat yang mungkin boleh bersama PAN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Ke-2 PAN Kawasan Bakri di Muar, malam semalam.

Sementara itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram berkata, pihaknya menyeru ahli PAN bersikap positif terutama mengurus kemenangan parti itu dalam konteks mentadbir negara ini.

Katanya, segala potensi dan kekuatan yang sudah dibina oleh parti itu harus dijelmakan dalam usaha menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

“Dengan kedudukan lima menteri dan empat timbalan menteri (daripada PAN) serta kedudukan kita dalam agensi kerajaan, majlis daerah dan peringkat kampung haruslah dapat menjana kepada parti dan kerajaan kita.

“Paling penting sekali, rakyat akan terkesan dengan kedudukan kita yang rapat dengan mereka dan pada masa sama dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat kelak,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here