Pas hentikanlah mengadu domba – Khalid

KUALA LUMPUR – Parti Islam SeMalaysia (Pas) digesa untuk berhenti daripada menjadi pihak yang gemar mengadu domba dan menimbulkan kegelisahan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN), Khalid Abdul Samad menegaskan, tindakan parti Islam itu yang gemar menggunakan pendekatan tersebut disifatkannya sebagai tidak bermoral.

“Pendekatan nak menakut-nakutkan orang Islam sehingga orang Islam rasa terancam dan sebagainya adalah satu pendekatan yang tidak bermoral.

“Saya menyeru kepada pihak Pas hentikanlah, marilah kita bersama-sama memikirkan macam mana nak bina dan bangunkan negara kita tanpa kita memainkan peranan sebagai pihak adu domba dan pihak menanam kebencian dan ketakutan sesama kita.

“Ini yang diperlukan oleh umat Islam, maka saya menyeru kepada pihak Pas hentikanlah kerja-kerja jahat mengadu domba di antara rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa ke-11 Perbandaran Lestari Kelas Dunia di Hotel Royal Chulan, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man semalam yang mendakwa Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim didakwa terbabit dalam agenda Kristianisasi.

Tuan Ibrahim mendakwa, DAP begitu rancak mempromosi The Kingdom of God dan The Jesus Manifesto seperti yang diungkapkan oleh Sim selaku Ahli Parlimen Bukit Mertajam dalam forum Naratif Malaysia Baru yang diadakan di Kota Damansara, 14 September lalu.

Khalid berkata lagi, sewajarnya Pas tidak merosakkan imej Malaysia sebagai negara contoh kepada dunia Islam dari segi keharmonian di antara masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Malaysia merupakan sebuah negara yang berpotensi untuk menjadi negara contoh serta negara majoriti Islam contoh kepada dunia Islam.

“Bagaimana umat Islam boleh hidup aman damai, berbilang kaum dan agama serta memperjuang dan mempertahankan prinsip kebebasan beragama dan bersuara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Loading...

Leave a Reply