Portal berita terbaik anda

Politik

PAS cuba sabotaj, ugut kerajaan Kedah – PAN

Parti Amanah Negara (PAN) membidas tawaran PAS untuk menubuhkan kerajaan perpaduan di Kedah berikutan kemelut pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri di negeri itu.

Ketua Pemuda PAN, Mohd Sany Hamzan mendakwa PAS cuba “mensabotaj” kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat dan diperkenan oleh Sultan Kedah.

“Dalam keadaan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah membuka ruang yang luas untuk berunding dalam soal lantikan Speaker DUN Kedah, PAS lebih memilih untuk mengugut kerajaan negeri.

“Idea PAS agar diwujudkan kerajaan perpaduan di Kedah yang melibatkan kesemua pembangkang iaitu PAS dan Umno turut sama membentuk kerajaan tidak boleh dipaksakan terhadap kerajaan negeri.

“Ia bukan satu-satunya jalan untuk menyelesaikan pelantikan Speaker DUN Kedah yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan jalan rundingan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohd Sany adalah sangat pelik apabila PAS memberi kata dua iaitu memaksa diwujudkan kerajaan perpaduan atau pilihan raya negeri diadakan.

“Apa motif sebenar parti tersebut? Adakah ia bertujuan agar perjalanan kerajaan negeri untuk memberi khidmat kepada rakyat akan disekat apabila bajet dan segala hal berkait sidang DUN Kedah digagalkan oleh PAS?” soalnya.

Semalam PAS melalui kenyataan Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu percaya akan memenangi Kedah sekiranya PRN diadakan.

Tuan Ibrahim berkata bagaimanapun parti itu berharap agar jalan penyelesaian lain dapat dicapai.

“PAS menawarkan jalan keluar iaitu mewujudkan Kerajaan Perpaduan yang bertujuan untuk mengelak PRN daripada berlaku.

“Ini adalah jalan keluar yang terbaik jika menghadapi situasi sebegini. Tapi mereka (Pakatan Harapan) menolak,” katanya.

Waspada dengan PAS

Mengulas lanjut, Mohd Sany mengingatkan parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) agar berwaspada dengan taktik parti Islam tersebut selepas “kegagalan besar” mereka dalam piihan raya umum lalu.

Beliau turut mendedahkan sebelum ini terdapat usaha daripada PAS untuk bekerjasama membentuk kerajaan dengan Umno di Perak.

“Namun setelah gagal perancangan mereka itu, hari ini mereka cuba berbaik dengan kerajaan Harapan.

“Ini jelas daripada kenyataan Presiden PAS minggu lalu bahawa PAS sedia bekerjasama dengan mana mana parti termasuk DAP.

“Begitu juga tawaran mereka untuk membentuk kerajaan perpaduan di Kedah, ini merupakan bunga-bunga untuk menyertai Pakatan Harapan,” kata Mohd Sany.

Katanya, hubungan PAS dengan Umno dan pengkhianatan terhadap Pakatan Rakyat dahulu membuktikan HARAPAN tidak sepatutnya menjalinkan kerjasama dengan parti itu.

Loading...

Leave a Reply