Portal berita terbaik anda

Politik

PAS buat keputusan ikut mimpi Hadi – Husam

KOTA BHARU: Keputusan PAS untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson adalah keputusan yang dibuat secara terburu-buru, kata Senator Husam Musa.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan itu turut mendakwa PAS juga gemar membuat keputusan berdasarkan mimpi Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“PAS suka bermimpi, sedangkan dalam Islam, mimpi tidak boleh atasi al-Quran dan Hadis serta fikiran yang logik.

“Presiden PAS (Abdul Hadi) banyak kali bermimpi sebelum buat keputusan seperti yang didakwa Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin.

“Pada saya, Islam tidak letakkan mimpi sebagai rujukan sesuatu keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutup mesyuarat agung Kesatuan Guru-Guru Melayu Kelantan kali ke-61 dan Koperasi Guru-Guru Muslim Kelantan kali ke-16, di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu, hari ini.

Mengulas lanjut, Husam berkata keputusan PAS mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menunjukkan tiada perubahan besar dalam landskap politik PAS.

Katanya, PAS sepatutnya memikirkan semula dasar dan pendekatan mereka serta tidak sepatutnya setiap masa menentang kerajaan.

“Dalam politik PAS, mereka sentiasa nampak titik kecil dan ia digunakan untuk tentukan dasar. Disebabkan itu, setiap kali PRK diadakan mereka mengambil keputusan untuk bertanding.

“Pada awalnya saya berpendapat mereka (PAS) tidak ikut serta dalam PRK kali ini kerana memberi ruang kepada pengukuhan pimpinan negara dengan penyertaan Datuk Seri Anwar,” katanya.

Mengenai keputusan UMNO untuk tidak bertanding, Husam berkata ia satu tindakan yang bagus.

“Mereka (UMNO) tahu mereka tidak lagi praktikal dan akan kalah disebabkan parti lemah, jadi tidak bertanding adalah keputusan yang bagus,” katanya.

Katanya, PH Kelantan menggerakkan jentera pilihan rayanya untuk membantu PRK Port Dickson bagi memastikan kemenangan kepada Anwar.

Loading...

Leave a Reply