Portal berita terbaik anda

Politik

Pas belum cukup kuat walau bersama BN, kata Khalid Samad

KOTA BHARU – Pas belum cukup kuat walaupun kini bergandingan dengan Barisan Nasional (BN) dalam Muafakat Nasional, kata Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN), Khalid Abdul Samad.

Menurutnya, ahli Pas sebenarnya masih lagi buntu dengan hala tuju parti itu sehingga memberi kesan kepada sokongan yang kini mula beralih arah kepada PAN.

“Daripada segi kekuatan Pas, nak kata bertambah kuat, memang saya tidak yakinlah. Walaupun dia bertambah kuat kerana bergabung, tapi dari segi ahli, masih ada yang pertikai sejauh mana hala tuju dibawa Pas.

“Sebab itu PAN dapat ahli baharu, ramai dari Kelantan dan ia di antara yang tertinggi. Sepatutnya sudah pasti ramai yang masuk Pas dan UMNO tapi ramai juga yang masuk PAN.

“Jika trend sokongan ini terus meningkat, tidak mustahil keahlian PAN Kelantan di antara yang paling dominasi PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) nanti,” katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, beliau merasmikan Kongres PAN Kelantan di Crystal Avenue di sini yang turut dihadiri oleh Naib Presiden PAN, Senator Datuk Husam Musa dan Pengerusi PAN Negeri, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah.

Khalid berkata, kerjasama yang berlaku antara Pas dan UMNO membuatkan mesej yang hendak disampaikan kepada ahli menjadi kabur.

Beliau berkata, ahli yang bersama Pas ketika ini ialah mereka yang terdiri daripada golongan wala’ (taat) yang tidak berfikir panjang dan hanya mengikut kata ulama.

“Hanya jenis golongan macam ini boleh masuk Pas, kalau dalam PAN, memang susahlah. Kita hanya mahukan ahli yang boleh berfikir, mempunyai pendirian sendiri dan memahami segala keadaan, bukannya hanya terus ikut saja.

“Selagi Abdul Hadi (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) ada, mereka (ahli Pas) akan patuh tapi lepas dia tiada, saya rasa Pas akan hilang hala tuju. Ini kerana hala tuju Pas adalah hala tuju Abdul Hadi. Apa yang dia rasa betul, itu yang semua orang akan buat.

“UMNO sendiri tahu dengan penyertaan Pas dalam BN akan mendatangkan imej negatif kepada UMNO itu sendiri. Tindakan UMNO ketika ini hanya mahu berusaha membaiki imej selepas kekalahan teruk PRU14 lalu,” katanya.

Loading...

Leave a Reply