PAS bayar lebih RM2.1 juta kos guaman kes Sarawak Report

143

KUALA NERUS – Pas membayar lebih RM2.1 juta hasil sumbangan ahli bagi menampung kos guaman bagi mengendalikan kes saman melibatkan Editor Sarawak Reports, Clare Rewcastle Brown.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, bayaran yuran guaman bagi membiayai kes saman itu masih berbaki £25,000 bersamaan kira-kira RM135,000.

“Daripada laporan kutipan sumbangan daripada ahli-ahli Pas, kita telah bayar sumbangan untuk biayai yuran peguam bermula 30 November 2016 hingga Jun lalu.

“Jumlah yang dikutip dan dimasukkan ke dalam satu akaun Pas ialah £355,550.82 bersamaan RM2,117,870.85juta dan peguam itu telah menghantar bil kepada presiden jumlah yang masih berbaki £25,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjelaskan isu saman Sarawak Report ketika sesi perbahasan penyata kira-kira pada Muktamar Tahunan Pas Pusat kali ke-64 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, walaupun Pas tidak terlibat dalam saman itu, kutipan wang bagi membiayai saman itu berasaskan kepada solidariti ahli parti.

“Pas tidak terlibat dalam kes saman Sarawak Report kerana dalam laporan berunsurkan fitnah (Sarawak Report) sebelum ini menyebut ia melibatkan pemimpin tertinggi Pas.

“Sebab itulah pihak yang menyamannya adalah Presiden Pas. Jadi, sumbangan diberikan berdasarkan solidariti atau sokongan terhadap presiden parti (Datuk Seri Abdul Hadi Awang), “katanya.

April tahun lalu, Abdul Hadi memfailkan saman berhubung artikel yang ditulis Clare pada Ogos 2016 yang mendakwa sebanyak RM90 juta dikatakan dimasukkan ke dalam akaun pimpinan Pas untuk mendorong bekerjasama dengan Umno dan BN.

Abdul Hadi menang perbicaraan kes saman terhadap Sarawak Report di Mahkamah Tinggi di London atas fitnah yang tidak berasas dan Clare diperintahkan membayar sebanyak RM156,197 (£28,900) atas tuduhan tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here