Portal berita terbaik anda

Politik

PAS akan jadi pembangkang selama-lamanya – Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin, membayangkan PAS hanya akan menjadi parti pembangkang buat selama-lamanya.

Katanya, PAS iri hati terhadap kejayaan yang dicapai kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini.

“Kita pernah runding ajak mereka (PAS) sertai kita tetapi mereka tak nak, kerana mereka parti Islam.

“Perjuangan PH dikatakan lebih daripada Islam, sedangkan kami ingin bentuk kerajaan yang lebih baik, menolak rasuah, membina masa depan yang cerah serta menguruskan ekonomi negara yang lebih baik.

“Kalau PAS andaikan PH hanya mampu bertahan dalam tempoh lima tahun, mungkin andaian itu tak berapa tepat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PPBM di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah, yang mengandaikan kerajaan PH ditadbir Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak mustahil akan runtuh dalam tempoh lima tahun.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) kini hanya tinggal nama saja.

“Daripada 13 parti komponen, sekarang hanya tinggal berapa saja…yang ada pun tak bermaya, tak ada kedudukan dan dah berpecah belah.

“Kalau saki-baki UMNO dicampur dengan PAS nak dibandingkan dengan kedudukan PH yang sudah berkuasa, PAS tidak mungkin akan menang. PH akan pertahankannya dengan sokongan rakyat,” katanya.

Loading...

Leave a Reply