Portal berita terbaik anda

Politik

Parlimen perlu dibubarkan, bentuk kerjasama politik baharu – Hamidah

IPOH – Cadangan pihak tertentu supaya kerajaan baharu dibentuk atau Parlimen dibubarkan menunjukkan bahawa kerajaan sedia ada gagal membawa perubahan dalam pentadbiran.

Bekas Naib Presiden PPBM, Datuk Hamidah Osman berkata, kerajaan pimpinan PH ketika ini dilihat gagal menyerap tekanan dihadapi rakyat terutama membabitkan kenaikan kos sara hidup.

Katanya, janji-janji manifesto yang gagal ditunaikan selepas PRU14 juga menyebakan rakyat kecewa kerana mereka mengharapkan sesuatu lebih baik daripada kerajaan terdahulu.

“Saya menyambut baik gesaan agar Parlimen dibubarkan kerana kita dah tunggu hampir lapan bulan, tak ada apa-apa perubahan positif. Saya katakan sekarang Malaysia sebagai negara yang gagal.

“Malahan keadaan negara berada dalam keadaan negatif lagi, baik dari segi ekonomi, pentadbiran, perpaduan dan hala tuju negara. Kerajaan hari ini seolah-olah hilang arah. Tak tahu ke mana nak pergi,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abd Rahman yang menyarankan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya membubarkan Parlimen bagi membentuk kerjasama politik baharu yang lebih stabil dan kuat.

Sementara itu, menurut Hamidah, lebih buruk lagi beberapa negara pelabur turut menurunkan kedudukan mereka terhadap Malaysia dan ia sesuatu yang membimbangkan.

“Perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana kita bimbang sampai satu tahap negara tidak boleh dipulihkan langsung, maka itu dah terlambat.

“Sekiranya PH merasakan mereka tidak lagi berkemampuan, mereka perlu mengambil sikap bertanggungjawab membubarkan Parlimen dan menyerahkan kepada rakyat untuk menentukan kerajaan mana yang mereka hendak,” katanya.

Hamidah berkata, sekiranya keadaan negara semakin buruk, kerajaan PH harus dipersalahkan di atas kegagalan mereka mentadbir.

Loading...

Leave a Reply