Portal berita terbaik anda

Politik

PAN yakin kuasai negeri Pantai Timur pada PRU15

SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (PAN) yakin akan meraih sokongan untuk menguasai negeri Pantai Timur menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presidennya, Mohamad Sabu, berkata PAN menerima kemasukan ramai ahli di Kelantan dan Terengganu, terutama dalam kalangan ahli PAS.

“Ramai ahli PAS di Kelantan dan Terengganu berpindah menyertai PAN, begitu juga di Kedah.

“Di Kelantan, ahli PAN paling ramai ialah di Pasir Mas,” katanya pada sidang media selepas ucapan penggulungan pada Konvensyen Nasional PAN 2019 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

Mohamad mendakwa semakin ramai ahli PAS tidak dapat menerima dasar parti itu bekerjasama dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional.

“Selama berpuluh tahun ahli PAS ditarbiah supaya membenci UMNO, malah pada satu ketika menggelarkan UMNO sebagai kafir, maka ramai ahli PAS tidak setuju dengan dasar parti itu,” katanya.

Beliau berkata, kemampuan PAN mencatat peningkatan bilangan ahli secara tidak langsung menutup cakap-cakap pelbagai pihak sebelum ini yang meragui kemampuan parti itu.

Mengulas dakwaan ahli perniagaan, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, dikatakan menggerakkan usaha terancang mengambil alih kepentingan dalam Felda Global Venture (FGV) Holdings Berhad ketika ini, Mohamad belum mendapat maklumat penuh berhubung perkara itu.

“Ia mungkin khabar angin dan kita akan bawa perkara ini dalam mesyuarat Pakatan Harapan dan Kabinet,” katanya.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional PAN, Datuk Mazlan Aliman, ketika ucapan penggulungan mendakwa, isu FGV memusnahkan pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini dan jika pengambilalihan itu dibenarkan, ia akan mengundang akibat buruk kepada kerajaan PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Loading...

Leave a Reply