Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Politik

PAN perlu pendekatan baharu kuasai pemikiran Melayu – Mat Sabu

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu menyeru seluruh pemimpin dan ahli untuk mengambil perhatian terhadap perkembangan kerjasama UMNO dan Pas.

Mohamad berkata, PAN perlu membuat pendekatan dan strategi baharu bagi menguasai pemikiran rakyat khususnya orang Melayu dan Islam di negara ini.

“Isu gabungan Umno dan Pas atau ‘NO-PAS’ yang sebelum ini bermula dalam gelap, kini sudah semakin menjadi realiti.

“Dalam perkembangan terbaharu termasuk Pilihan Raya Kecil Semenyih, hubungan kedua-dua parti ini semakin intim ke arah pembentukan sebuah gabungan politik,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau juga menegaskan, PAN perlu bersedia untuk menghadapi serangan isu agama dan kaum ke arah penguasaan majoriti umat Islam dan rakyat Malaysia sekarang dan pada masa depan.

“Pendekatan Islam Rahmat Untuk Semua atau Rahmatan Lil Alamin perlu lebih menonjol untuk diterjemahkan dengan mengambil kira kewujudan pelbagai kaum dan agama di Malaysia.

“Bersama Pakatan Harapan, PAN akan terus berusaha menghadapi politik order baharu ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang,” katanya lagi.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén