Portal berita terbaik anda

Politik

PAN perlu lebih tonjolkan ulama, agamawan untuk lawan PAS

PAN perlu lebih menonjolkan kumpulan ulama dan golongan agamawan dalam parti itu jika mahu menewaskan PAS, kata seorang perwakilan.

Perwakilan PAN Pahang Sazli Mohd Noor berkata parti itu masih gagal menjadi kuasa pengimbang kepada PAS dalam politik.

“Setakat hari ini PAN masih belum diharap rakyat secara keseluruhan sebagai parti yang boleh mengimbangi kuasa ‘radikal’ PAS dalam arena politik.

“Ini kerana kita belum berjaya menonjolkan golongan ulama dan asatizah kita. Di mana mereka?

“Kumpulan ini mesti dibawa ke depan. Merekalah yang mampu meredakan, menewaskan parti yang ‘radikal’ dan kita berharap parti kita tida mengabaikan golongan ulama,” katanya ketika sesi perbahasan ucapan dasar presiden, hari ini.

Tiada lagi ‘flip-flop’

Sementara itu, perwakilan PAN Perlis Muhammad Yahaya menggesa pemimpin parti itu memainkan peranan dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH) agar tiada lagi keputusan dan dasar yang tidak konsisten di masa depan.

Beliau berkata perkara itu hanya akan mengelirukan dan mencetuskan kemarahan rakyat.

“Hari ini kita tengok banyak keputusan tidak konsisten dan ‘flip-flop’. Contohnya isu PTPTN.

“Rakyat jadi keliru dengan kita, kita buat keputusan kemudian mengubahnya (dalam masa singkat),” katanya lagi.

Beliau merujuk skim pemotongan gaji baru terhadap peminjam PTPTN yang kemudian ditangguhkan susulan bantahan pelbagai pihak, termasuk dalam PH sendiri.

“Saya minta pimpinan, terutama yang ada dalam Majlis Presiden PH, untuk menegur…Walaupun yang terlibat (dengan keputusan) dari parti lain, tetapi kita ada autoriti untuk pastikan ia tidak berulang,” katanya yang merujuk Presiden Amanah Mohamad Sabu yang menganggotai majlis itu.

Loading...

Leave a Reply