Portal berita terbaik anda

Politik

PAN Kelantan mahu tunjuk bukan PAS saja Islam

Menggalas tanggungjawab yang dianggap mencabar dalam mengemudi parti di peringkat negeri, Pengerusi PAN Kelantan, Muhammad Hussin berkata, menjadi cabaran utama baginya untuk memperlihatkan bahawa “bukan PAS saja Islam”.

Katanya, selama ini masyarakat khususnya di Kelantan digambarkan bahawa parti PAS sahaja yang membawa pendekatan Islam.

“Di Kelantan ini orang nampak Islam itu PAS sahaja. Itu cabaran kepada kita bagaimana untuk menampakkan PAN juga Islam.

“Sebab itu kita bawa dasar Rahmatan Lil Alamin, supaya rakyat betul-betul faham. Ia merangkumi seluruh aspek kehidupan rakyat. Biar Islam itu diperlihatkan. Cabaran kita adalah memberi pendidikan dan penjelasan yang lebih baik.

“Sedangkan apa yang PAS buat menjadi retorik sejak sekian lama. Walaupun dikatakan sebagai negeri Islam, tetapi ia nampak tidak berkesan kepada rakyat.

“Bagaimana sebuah negeri dengan Membangun Bersama Islam tetapi maksiat masih berleluasa, dan kes melibatkan dadah masih tinggi. Ini bermakna kefahaman tentang Islam belum benar-benar berkesan,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di Pejabat PAN negeri, di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Muhammad yang juga bekas anggota parlimen PAS dipilih sebagai pengerusi PAN Kelantan bagi menggantikan penyandangnya, Wan Abd Rahim Wan Abdullah.

Katanya, PAN Kelantan dalam fasa sekarang akan memberi fokus terhadap penjelasan dasar-dasar kerajaan persekutuan dan kebajikan rakyat serta menjadi perantara kepada kerajaan persekutuan.

“Kita akan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan pusat, buat masa ini kita belum optimumkan kerjasama itu dan akan diusahakan untuk kebaikan rakyat.

“Kita akan menjadikan jentera pusat menyerlah di Kelantan dan jika berkesan saya yakin rakyat akan dapat manfaat sekali gus menyakini komitmen kita berikan,” katanya yang juga bekas Adun Gaal.

Sementara itu, Muhammad berkata pendekatan dalam mengurus dan mentadbir negeri tidak berubah masih menggunakan kaedah lama sejak zamannya bersama PAS lagi.

“Setelah 30 tahun PAS membawa dasar Membangun Bersama Islam, ia sepatutnya dilihat semula dari segi pelaksaan dan strategi. Apa yang dilaksanakan hari ini adalah apa yang dibuat sejak zaman pemerintahan awal PAS Kelantan.

“Tidak ada perkara yang baru. Misalnya sebelum ini kita dengar slogan Pertanian Satu Ibadah, dan apa hasilnya?

“Sepatutnya padi makin bermutu, hasil semakin banyak dan pendapatan rakyat bertambah. Itu baru berhasil sesuai slogan. Mungkin kita boleh juga tengok apa yang dijanjikan oleh PAS Kelantan dan apa yang dibuat?” katanya yang juga bekas anggota parlimen Pasir Puteh.

Loading...

Leave a Reply