Portal berita terbaik anda

Politik

Pakatan kalah mudah jika pilihan raya diadakan sekarang

PAKATAN Harapan akan kalah pilihan raya kalau diadakan sekarang kerana mereka sudah berhenti mendengar suara rakyat, kata bekas pengarah strategi PPBM Dr Rais Hussin Mohamed Ariff.

“Kita perlu mula dengar (suara) rakyat. Sekarang kita buat apa yang pernah BN buat. Kita sedang gagal,” katanya pada sesi panel bertajuk “By-elections predict outcome of GE-15”, hari ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM itu turut memberi amaran jika pilihan raya mengejut diadakan sekarang, pakatan Umno-PAS bakal menang mudah.

“Memandangkan sentimen semasa jika kita ada pilihan raya esok. Pakatan baharu Umno-PAS akan menang mudah,” katanya yang juga Pengarah dan pengasas badan pemikir Emir Research itu.

Beliau mengingatkan rakan politiknya bahawa mempunyai kuasa sahaja tidak mencukupi kerana mustahak menangani isu yang penting untuk rakyat.

Rais berkata kerajaan perlu memberi fokus kepada isu mendesak seperti kos sara hidup, kualiti hidup, pembentukan pekerjaan dan pengangguran serta perumahan dan penjagaan kesihatan mampu milik.

Tambahnya, pada masa sekarang, kerajaan tersilap meletak keutamaan kepada isu seperti kereta terbang, kereta nasional dan Go-Jek.

Ramalan Rais itu dibuat beberapa hari selepas seorang lagi aktivis ternama PH berkata rakyat Malaysia terus-terusan dikecewakan kerajaan kerana tindakan sebilangan pemimpinnya.

Peguam Ambiga Sreenevasan berkata PH perlu mengelak bertelingkah tentang kepentingan sempit, sebaliknya berusaha keras untuk pembinaan negara.

Menerusi Twitternya, Ambiga menulis yang rakyat perlukan negarawan bukannya ahli politik, kerana negarawan memikirkan tentang generasi masa depan tetapi politikus “hanya memikirkan tentang pilihan raya akan datang.”

“Saya faham perasaan rakyat. Setiap kali anda harapkan pemimpin berperangai senonoh, ada yang sangat mengecewakan. Seolah-olah kita tak penting. Yang penting hanyalah terus berkuasa.

“Kami ingat mereka (PH) berbeza,” tulisnya.

Beberapa pihak juga menuduh PH gagal memenuhi janjinya untuk melakukan pembaharuan pasca PRU14 untuk Malaysia.

Kerajaan sejak kebelakangan ini terkait dengan pelbagai isu yang mendatangkan kemarahan rakyat dan penyokongnya termasuklah kontroversi Dr Zakir Naik dan pengenalan seni khat Jawi di sekolah vernakular. – 28 Ogos, 2019.

Loading...

Leave a Reply