Portal berita terbaik anda

Politik

Pakatan bakal hilang 29 kerusi kerana gabungan BN-PAS

PAKATAN Harapan (PH) akan kehilangan 29 kerusi di Semenanjung Malaysia kerana kerjasama Barisan Nasional (BN) dan PAS sekiranya pilihan raya umum (PRU) berlangsung sekarang, kata satu badan pemikir.

“Gabungan BN-PAS akan memenangi 97 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia berdasarkan kajian terbaharu sentimen Malaysia,” kata Institut Darul Ehsan (IDE) kepada wakil rakyat PKR pada pemukiman yang diadakan di Port Dickson pada 19-21 Julai.

The Malaysian Insight turut melihat slaid yang dibentangkan baru-baru ini.

Merujuk hasil kaji selidik terbaru itu, IDE berkata PH hanya akan memenangi 68 daripada 166 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia.

Pada pilihan raya umum lalu, PH mampu memenangi 97 daripada 166 kerusi Parlimen di Sememannjung Malaysia. Ditambah dengan pembelotan dan kerjasamanya dengan Warisan, gabungan itu kini mempunyai 138 ahli Parlimen berbanding pembangkang 84 orang.

Di bawah gabungan pembangkang, BN mempunyai ahli Parlimen paling ramai iaitu 40 orang, diikuti oleh PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) masing-masing seramai 18 orang. Manakala ahli parlimen bebas dan tidak berpihak kekal lapan orang daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.

IDE berkata, gabungan BN-PAS dijangka akan membangkitkan isu perkauman dan retorik agama dalam usaha untuk memenangi sokongan Melayu.

“Tambahan pula, BN-PAS akan mendapat faedah daripada persempadanan semula pada 2018 yang dilakukan oleh mereka.”

Gabungan BN-PAS juga mampu memberi ancaman kepada PH kerana dua parti berkenaan memiliki kerusi majoriti Melayu pada PRU14.

Pada PRU lalu, BN menawan 10 kerusi dan PAS mendapat 15 kerusi lebih 90% majoriti Melayu di Terengganu, Kedah dan Kelantan.

PH hanya memenangi 2 kerusi – Langkawi dan Jerlun. Kedua-duanya dimenangi Dr Mahathir Mohamad dan anaknya Mukhriz daripada Bersatu.

Namun PH merampas kesemua 24 kerusi majoriti Cina di Selangor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, kata IDE.

Kumpulan itu berkata, persempadanan semula sebelum ini meningkatkan jumlah kerusi majoriti Melayu berbanding yang bercampur.

Model Selangor

Menjadikan 56 kerusi DUN Selangor sebagai contoh, IDE berkata persempadanan semula meningkatkan kerusi majoriti Melayu di negeri itu.

Sebelum persempadanan semula, Selangor hanya mempunyai 11 kerusi majoriti Melayu dan 41 kerusi campuran.

Namun selepas cadangan Suruhanjaya Pilihann Raya diterima Parlimen sebulan sebelum PRU14, kerusi majoriti Melayu (atas 65%) meningkat kepada 25, majoriti Cina kepada lima manakala kerusi campuran berkurangan kepada 25.

Ini sangat penting dalam kerjasama BN-PAS dan kehadiran pertembungan tiga penjuru, kata IDE.

Namun begitu, gabungan BN-PAS masih tidak cukup untuk merampas Selangor, ia hanya akan meingkatkan kerusi mereka daripada lima kepada 16, manakala PH akan emenangi 40 kerusi, kata kumpulan pemikir itu.

Pada PRU14, Pakatan memenangi 51 kerusi manakala BN empat dan PAS satu kerusi di negeri itu.

IDE juga menyatakan kesan gabungan BN-PAS pada pilihan raya kecil Semenyih Mac lalu.

Pada PRU14, PH memenangi kerusi itu dengan 50% undi popular dalam pertembungan tiga penjuru – BN (31%), PAS (15%) dan lain-lain (4%).

Namun pada pilihan raya kecil itu gabungan berkenaan kehilangan kerusi itu kepada Umno kerana hanya mampu memenangi 45% undi berbanding BN-PAS 50%. Manakala 5% lagi dimenangi bebas, kata IDE.

IDE dimulakan oleh kerajaan Selangor yang diterajui PKR, membentangkan kaji selidik Malaysia 2019 itu pada 20 Julai lalu di pemukiman PKR di Port Dickson.

Kaji selidik IDE itu melibatkan 1,597 responden dan dijalankan dari 28 hingga 30 Jun. – 2 Ogos, 2019.

Loading...

Leave a Reply