Pak Samad dilantik Sasterawan UniSZA

SASTERAWAN Negara, Datuk Seri A Samad Said dilantik sebagai Sasterawan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

A Samad Said atau lebih dikenali sebagai Pak Samad dilantik di bawah program penempatan Sasterawan Negara sekali gus menyahut saranan Menteri Pendidikan Malaysia Dr Maszlee Malik yang mahu Sasterawan Negara ditempatkan di pusat pengajian tinggi sekali gus menghargai sumbangan Sasterawan Negara kepada negara.

Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, beliau sendiri menyampaikan hasrat UniSZA kepada Pak Samad.

“Alhamdulillah, Pak Samad menyatakan persetujuan dan beliau akan ditempatkan di bawah program penempatan Sasterawan Negara di UniSZA.

“UniSZA akan menyerahkan surat rasmi kepada Pak Samad pada 9 Mac 2019 dan beliau akan menghadiri satu program khas di universiti selepas itu.

“Kami percaya langkah itu akan memberi sumbangan yang besar seterusnya berkongsi ilmu dan menyebar luas karya-karya Pak Samad kepada penuntut dan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Nerus, hari ini.

Dr Hassan Basri berkata, Sasterawan Negara wajar diberi kedudukan yang tinggi sebagai tanda menghargai sumbangan mereka dalam memartabatkan sastera negara.

“Sasterawan Negara ialah sumber ilmu, jadi saya yakin kehadiran Pak Samad di bawah program ini akan membantu UniSZA dalam usaha memartabatkan bidang sastera negara.

“UniSZA akan mewujudkan Galeri Pak Samad dan galeri itu akan memaparkan semua karya dan dokumentasi beliau termasuk karya-karya beliau yang sudah dijadikan drama atau filem,” katanya.

Menurutnya, Pak Samad sudah bersetuju untuk memberikan bahan dan hasil tulisan berharganya untuk disimpan di galeri itu dengan harapan ia menjadi tatapan generasi muda khususnya mendidik penuntut menyanjungi karya dan hasil ilmiah.

Loading...
Published
Categorized as Utama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *