Portal berita terbaik anda

Utama

Otak-otak, satar Che Wan digemari selebriti

KEMAMAN – Keenakan otak-otak dan satar resipi turun-temurun keluarga warung Che Wan di sini mendapat perhatian ramai.

Bukan hanya penduduk sekitar tetapi selebriti ternama turut mengecapi kelazatan otak-otak dan satar air tangan Che Wan Sainah Che Wan Aziz.

Warung yang terletak di Jalan Kuala Kemaman-Geliga, Chukai ini tidak putus-putus menerima pelanggan sejak ia diambil alih daripada ibunya pada 1998.

“Rempah ratus itu saya memang buat sendiri, digiling. Ramuannya diwarisi kepada saya, generasi ketiga,” kata pengusaha itu.

Che Wan Sainah berkata, di luar musim hujan hujung bulan lalu, beliau mampu menjual lebih 2,000 satar ikan kerisi sehari seperti hari-hari biasa.

Sementara otak-otak, yang diperbuat daripada ikan tenggiri, pula mampu dijual 1,000 keping, mengambil kira faktor bekalan ikan pada musim tengkujuh kini.

Kerana sudah popular, perniagaannya berjalan OK walau faktor cuaca dan juga Lebuh Raya Pantai Timur 2 yang mempengaruhi laluan pengunjung.

Harga otak-otak dan satar (tenggiri) dijual RM14 sepasang. Otak-otak dan satar (ikan biasa) RM11 sepasang. Pais ikan pula RM6 sepinggan.

Otak-otak isi tenggiri sepinggan dijual RM10 dan ikan biasa RM7 sepinggan. Senarai harga terpampang dengan jelas di Warung Otak-Otak Che Wan.

Turut menjual keropok goreng dan pulut mangga, Che Wan Sainah yang berasal dari Kemaman membuka warungnya setiap hari dari 11 pagi hingga 6.30 petang.

Jika kena pada harinya, orang ramai sanggup berbaris. Bahkan beberapa selebriti pernah merasai otak-otak dan satar air tangannya.

Mereka yang menikmati masakan tradisi Terengganu itu termasuklah ustaz popular Azhar Idrus, penyanyi Aiman Tino, pelakon Janna Nick dan Fattah Amin.

Dalam sebulan, warung ini ditutup selama dua hari. Untuk pengunjung baru, boleh semak Facebook mereka: Warung Otak-Otak Che Wan.

Loading...

Leave a Reply