Oktoberfest hanya bawa mudarat – MBM

0
175

KUALA LUMPUR – Majlis Belia Malaysia (MBM) menyifatkan penganjuran pesta Oktoberfest yang dijadual diadakan di beberapa tempat dan telah berlangsung di Mid Valley semalam mendatangkan lebih banyak mudarat daripada manfaat.

Presidennya, Jufitri Joha berkata, acara pesta arak yang berasal dari Jerman itu tidak sesuai untuk dibawa dan dianjurkan di Malaysia kerana tidak semua budaya yang datang daripada luar sesuai dengan norma-norma tempatan.

“Dalam masa yang sama, penganjuran Oktoberfest ini juga bertentangan dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan bagi mengangkat kebudayaan Melayu dan pelbagai kaum lain yang sesuai mengikut acuan Malaysia serta Islam sebagai unsur penting membentuk kebudayaan kebangsaan di negara ini.

“Jadi, tidak timbul isu sama ada ia dibuat secara tertutup mahupun terbuka kerana pesta ini amat tidak sesuai dengan budaya bangsa Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Jufitri, dakwaan penganjuran Oktoberfestdapat menarik kunjungan pelancong ke Malaysia juga harus ditolak memandangkan faktor utama kehadiran pelancong ke negara ini adalah kerana keunikan kebudayaan pelbagai kaum yang wujud dan ditonjolkan secara harmoni.

“Jadi, membawa masuk budaya Oktoberfest yang tidak selari dengan budaya bangsa negara ini harus ditolak dan kerajaan harus tegas memantau pesta ini daripada diteruskan serta tidak membenarkan pesta ini diadakan secara terbuka sekiranya terdapat permohonan untuk berbuat demikian,” katanya.

MBM juga menggesa kerajaan agar tidak lagi membenarkan penjualan minuman keras secara terbuka di premis-premis perniagaan 24 jam kerana ia hanya mendedahkan pembelian secara tidak terkawal terutama di kalangan belia yang akhirnya membawa kepada masalah ketagihan dan sosial yang serius.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan, Mohammad Hisham Shafie berkata, pihaknya turut membantah penganjuran Oktoberfest malah menggesa pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia menjalankan operasi secara besar-besaran di lokasi pesta arak tersebut dianjurkan.

“Ini perlu memandangkan memandu dalam keadaan mabuk adalah satu kesalahan serius mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987. Lebih merisaukan, pengunjung pesta tersebut memandu kenderaan dan sudah tentu membahayakan pengguna jalan raya yang lain kerana mereka memandu dalam keadaan dipengaruhi alkohol ketika pulang dari pesta itu. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here