Oktoberfest bukan pesta arak – Azmin

0
1794

SHAH ALAM: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan penganjuran ‘Oktoberfest 2018’ bukan pesta arak seperti yang didakwa.

Sebaliknya beliau berkata program itu merupakan acara tahunan yang diadakan di negara ini.

“Saya tidak mahu kita terjebak dan terheret dengan polemik seperti ini. Saya ada pengalaman bagaimana kita urus Oktoberfest ketika di Selangor.

“Ada kelompok kecil yang pertikaikan. Ada beri gambaran pesta arak, tidak benar sekali. Ia acara tahunan,” katanya ketika menjawab soalan penonton dalam program Bicara Minda Ekonomi: Kesejahteraan Untuk Semua di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, hari ini.

Penganjuran ‘Oktoberfest 2018’ di Mid Valley mendapat bantahan banyak pihak namun ia tetap dibenarkan berlangsung kerana tidak melanggar undang-undang.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata kerajaan berpegang kepada dasar mempertahankan agama Islam namun tidak boleh menghalang amalan kaum lain.

“Pihak berkuasa tempatan beri syarat yang perlu diikut seperti dalam kawasan tertutup dan ada penguatkuasa bagi memastikan tak ada orang Islam yang terlibat.

“Bukan sahaja di Selangor, di Johor dan beberapa negeri lain berlaku dengan aman. Dasar kerajaan bukan sahaja mempertahankan Islam tapi kita juga tak boleh halang budaya dan amalan kaum lain. Ini telah kita laksanakan dan tak nampak ada masalah tersebut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here