Portal berita terbaik anda

Utama

Nurul Zahid dan suami didenda RM800 ingkar PKP

DATUK Nurul Hidayah Ahmad Zahid dan suaminya, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff masing-masing didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini selepas mengaku bersalah ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majistret Shah Wira Abdul Halim menjatuhkan hukuman itu selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan serentak oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, Nurul Hidayah, 41, dan Saiful Nizam, 49, bergerak dari Kajang menuju ke Jabatan Alam Sekitar, Putrajaya iaitu dari satu kawasan berjangkit ke satu kawasan berjangkit di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.

Kesalahan itu dilakukan pada 9 pagi, 20 April lalu.

Oleh itu kedua-dua mereka didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 11, peraturan yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih dari enam bulan atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya, Nurashikin Mokhtar memohon supaya kedua-dua mereka dikenakan denda maksimum RM1,000 kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Bagaimanapun, Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili kedua-kedua tertuduh memberi alasan anak guamnya mendapat surat jemputan dari Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Ahmad Masrizal Muhammad.

Terdahulu, kedua-dua mereka tiba di mahkamah pada 8.20 pagi bagaimanapun, beliau dan suami tidak melalui pintu masuk hadapan mahkamah kerana dipercayai menggunakan laluan lain.

Beliau kemudiannya dilihat keluar dari dewan mahkamah pada 11.05 minit pagi dan sempat melambaikan tangannya kepada pengamal media serta mengucapkan terima kasih.

“Terima kasih semua dan selamat berpuasa,” katanya.

Pada 20 April lalu, Nurul Hidayah, memuat naik gambar di Instagram miliknya ketika dia dan suaminya bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Ahmad Masrizal Muhammad di pejabat masing-masing.

Perkara itu mendapat kecaman netizen yang mendakwa beliau dan suaminya melanggar PKP kerana keluar berdua dan seolah menyalahgunakan kedudukan beliau sebagai anak tokoh politik untuk berbuat demikian.

Loading...